
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Presiden Anwar Ibrahim sehingga kini selesai melakukan rombakan kepimpinan di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor manakala bakinya akan dibuat dalam masa terdekat.
“Saya ingat isu kepimpinan PKR di Sabah terkawal, memang presiden dalam tempoh buat rombakan pimpinan di negeri-negeri.
“Sekarang selesai enam negeri, selanjutnya akan dilihat di negeri lain,” katanya ketika ditemui selepas Ops Gempur Raya mencegah insiden pencemaran alam sekitar di sekitar Shah Alam.
Sebelum ini, FMT melaporkan kemelut PKR Sabah akan dimuktamadkan Anwar yang akan mendengar pandangan dan luahan ketua bahagian negeri itu selepas Aidilfitri.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Yahya Mat Sahri, berkata nasib Sangkar juga akan ditentukan selepas pertemuan itu.
Baru-baru ini, 15 daripada 26 ketua bahagian diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar berundur secara terhormat atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.