Mitra dilayan seperti anak angkat, kata Santiago

Mitra dilayan seperti anak angkat, kata Santiago

Bekas Ahli Parlimen itu menyifatkan pemindahan Mitra antara Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perpaduan Negara sebagai menghina masyarakat India.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pemindahan berterusan Mitra menunjukkan tiada kepimpinan India yang boleh dipertanggungjawabkan terhadapnya.
PETALING JAYA:
Charles Santiago daripada DAP mengkritik kerajaan melayan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) seperti “anak angkat” susulan pemindahannya daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Perpaduan Negara sejak 2018.

Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata, pemindahan berulang kali Mitra memenatkan dan menghina masyarakat India tempatan.

“Mitra dilayan seperti anak angkat. Tiada siapa mahukannya. Ramai hilang kepercayaan dengan pemindahan berulang itu, menyebabkan timbul rasa kurang yakin masyarakat India terhadap kerajaan,” katanya kepada FMT.

Santiago berkata, pemindahan skop itu akan menjejaskan operasi Mitra dan ia sudah terlambat apabila rancangannya dilancarkan.

Charles Santiago.

Menurutnya, objektif awal Mitra untuk mengubah dan meningkatkan kaum India dalam segmen pendapatan B40, di mana Pelan Tindakan Masyarakat India jelas menggariskan isu dihadapi dan strategi menyelesaikannya.

Malangnya, beliau berkata, pelan tindakan itu belum dilaksanakan.

“Pemindahan berulang Mitra (antara JPM dan Kementerian Perpaduan Negara) juga menunjukkan tiada kepimpinan India yang boleh bertanggungjawab terhadapnya.”

Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil mengumumkan Mitra kembali diletakkan bawah JPM, susulan keputusan bersama oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Mitra pada asalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic). Unit itu berada bawah JPM sebelum dijenamakan semula sebagai Mitra pada 2018 dan diletakkan bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Pada September 2022, pentadbiran Ismail Sabri Yaakob mengembalikan Mitra ke bawah seliaan JPM.

Tetapi, pada Disember 2023, Anwar mengumumkan Mitra dikembalikan semula bawah Kementerian Perpaduan Negara dan dirinya akan terus memantau unit khas itu.

Kementerian Perpaduan Negara dikritik selepas mengambil alih pengurusan Mitra, dengan tiga kumpulan India menggesa Aaron meletak jawatan selepas beliau dilaporkan berkata “tidak tahu apa tujuan Mitra”.

Aaron turut menafikan dana Mitra dikawal Pemandu, unit pengurusan prestasi dan penyampaian di JPM. Beliau berkata Pemandu hanya ditugaskan mengendalikan bengkel dan kajian bagi memudahkan perancangan strategik untuk Mitra serta pelan tindakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.