
Cadangan itu disuarakan Wilfred Madius Tangau daripada Upko yang berkata, ini mungkin dapat membantu mengelakkan Sabah dan Sarawak dicemari isu perpecahan di Semenanjung.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii daripada DAP berkata, dua negeri itu sebaliknya perlu mengambil peranan lebih penting dalam memimpin “seluruh Malaysia”.
“Walaupun kami memahami sensitiviti isu ini, banyak perkara lain memerlukan fokus penuh kita, khasnya membina semula ekonomi, mendorong tadbir urus baik dan memastikan wilayah kita tidak terpinggir daripada pembangunan sewajarnya,” kata Yii.
Naib Presiden Warisan, Junz Wong senada Malaysia hanya akan maju jika ahli politik mengalihkan fokus mereka kepada isu penting yang boleh memanfaatkan negara.
Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak hanya akan bersetuju untuk “dikenal pasti secara berbeza” bagi tujuan dasar serta belanjawan persekutuan lebih baik bagi menambah baik negeri Borneo.
“Terdapat begitu banyak bukti kita didiskriminasi dan diketepikan, dan begitu ramai (orang) dipinggirkan secara sistematik.”
Yii berkata, negara perlu meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan kebolehannya sebagai masyarakat berbilang budaya, bukannya mewujudkan perpecahan apabila senario sedemikian timbul.
Pengasas Pergerakan Perubahan Sarawak, Francis Paul Siah berkata, isu seperti kontroversi KK Mart tidak pernah meletus menjadi keganasan di Sabah dan Sarawak disebabkan keharmonian agama serta kaum di Malaysia Timur.
“Agama bukan faktor pemisah (di Sabah dan Sarawak), tetapi faktor penyatuan. Sebab itu (dua negeri itu) berbeza (dari Semenanjung Malaysia),” katanya yang terkejut dengan serangan bom petrol di sebuah cawangan KK Mart di Kuching baru-baru ini kerana ekstremisme “tidak patut masuk ke Sarawak”.
Insiden di Kuching itu ialah serangan ketiga ke atas rangkaian kedai serbaneka terbabit dalam tempoh seminggu, selepas cawangan KK Mart di Bidor, Perak dan Kuantan di Pahang yang turut dibaling bom petrol.
Bom petrol yang dilempar di cawangan Bidor pada 26 Mac lalu tidak meletup, manakala bom petrol di Sungai Isap, Kuantan pada 30 Mac lalu membakar beberapa barangan, walaupun api segera dipadamkan pekerja KK Mart.
KK Mart diselubungi kontroversi sejak 13 Mac lalu selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah dijual di cawangannya di Bandar Sunway tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.