
Dengan lebih 100,000 pengikut, kandungan Instagram dan YouTube wanita berusia 24 tahun ini sarat dengan kisah pengembaraan, makanan-makanan tempatan, dan kefasihannya berbahasa Melayu.
Namun apa yang paling menarik perhatian ialah langkah beliau memeluk Islam dan perkahwinannya dengan seorang pelakon tempatan, Abbas Mahmood.
Ketika Dunsmore bersiap-siap untuk meraikan Aidilfitri pertamanya sebagai orang Islam, beliau mengimbau kenangan sebagai seorang siswa bidang perniagaan antarabangsa di Scotland, dan keputusannya untuk melanjutkan pengajian ke Malaysia.
“Saya tutup mata, leret senarai negara-negara yang ditawarkan oleh universiti saya, dan jari saya berhenti di Malaysia,” katanya kepada FMT Lifestyle baru-baru ini. “Ketika itu saya fikir ia takdir – sekarang saya percaya ini ketentuan Tuhan.”
Beliau tiba di Malaysia pada 2019 melalui program pertukaran pelajar di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Dunsmore akui pada mulanya beliau belum ‘serasi’ dengan Malaysia. “Dua minggu pertama saya di sini, saya hubungi bapa saya mengadu: ‘Saya tak tahan. Saya tak dapat sesuaikan diri. Cuacanya panas dan makanannya sangat pedas’,” katanya sambil tertawa.
Namun pemandangannya meluas semakin jauh perjalanannya, ketika mengembara dengan teman-teman ke serata tanahair dan mengenali rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia baik hati dan pemurah,” katanya. “Kalau awak perlu bantuan, mereka sedia membantu. Semua orang mudah tersenyum, mesra dan ramah, dan hanya mahu anda menikmati Malaysia.”
Sebagai seorang pelajar yang cuba membiasakan diri dengan Kuala Lumpur, minat yang mendalam terhadap penciptaan konten membuka lembaran baharu dalam hidup Dunsmore.

Warganet tempatan kagum melihat seorang warga asing mengamalkan budaya Malaysia, menghadiri rumah terbuka, memakai busana tradisional, bahkan berbahasa Melayu.
Bertemu ‘Abang Bomba’
Kisah cinta Dunsmore dengan Abbas berlatarkan sambutan Hari Merdeka.
“Itu pertama kali Alana melihat perarakan, dan pertama kali saya menyertainya,” kata Abbas kepada FMT Lifestyle. “Ketika itu saya sedang mempromosikan filem terbaharu saya, ‘Bomba The Move: Legasi Wira Merah’. Alana memuat naik video di Instagram, yang memaparkan reaksinya terhadap ‘Abang Bomba’ di perarakan itu.”
Jenaka Abbas dalam komennya di catatan Alana itu membawa kepada perbualan yang membuahkan percintaan. Pasangan ini berkahwin pada Januari.
“Sebaik sahaja saya nampak dia, saya fikir ‘lelaki ini bakal suami saya,’ kata Dunsmore. “Kami bertunang selepas beberapa bulan bertemu.”

Sebenarnya, langkah Dunsmore memeluk Islam tidak ada kaitan dengan perkahwinannya.
“Ramai orang ingat Alana memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan saya. Itu tak betul,” tegas Abbas. “Dia belajar tentang Islam selama empat tahun sebelum pertemuan kami.”
Malah, ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak terkejut apabila diberitahu beliau telah memeluk Islam.
“Dua Ramadan telah saya tempuhi sebelum saya memeluk Islam. Saya berpuasa dan membaca Al-Quran,” katanya.

“Pada malam sebelum saya melafazkan syahadah, saya sedar tak boleh berpatah balik. Tetapi apabila hati kamu terima Islam, kamu tahu inilah laluannya.”
Menjalani Ramadan pertamanya sebagai seorang Muslim, Dunsmore meluahkan betapa bersyukurnya beliau akan sokongan daripada para pengikut yang menghormati perjalanannya.
Sambil bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman suaminya di Kelantan untuk Aidilfitri, kisah Dunsmore daripada seorang siswa di Scotland hingga menjadi seorang pempengaruh di Malaysia mengingatkan kita bahawa laluan yang tak disangka seringkali membuka lembaran baharu.
“Saya amat gembira dengan kerja ini,” katanya, “dan sekarang saya berkongsi pengalaman ini dengan suami.”