AEON BiG peroleh pinjaman RM150 juta perluas operasi

AEON BiG peroleh pinjaman RM150 juta perluas operasi

Pembiayaan oleh HSBC Amanah itu juga akan digunakan untuk menyokong operasi hariannya.

Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Raja Amir Shah bertukar dokumen perjanjian kemudahan pembiayaan selepas majlis menandatanganinya.
PETALING JAYA:
Rangkaian pasar raya besar AEON BiG (M) Sdn Bhd memperoleh kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM150 juta untuk menaja jamin pelan pengembangan perniagaan yang akan menyaksikan pembukaan cawangan baharunya di Seremban esok.

Kemudahan pembiayaan oleh HSBC Amanah yang pertama untuk AEON BiG itu juga akan digunakan untuk menyokong operasi hariannya di Malaysia.

AEON BiG yang merupakan sebahagian daripada Aeon Co Ltd dari Jepun, kini mempunyai 21 pasar raya besar di Malaysia.

Kemudahan pembiayaan itu diperoleh melalui kerjasama HSBC Amanah dengan Aeon Co di Jepun dan AEON BiG di Malaysia.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, AEON BiG berkata kemudahan pembiayaan itu adalah kunci kepada rancangannya untuk meningkatkan operasi di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, berkata kemasukan modal kerja baharu akan membantu rantaian mempercepatkan trajektori pertumbuhan, pengembangan dan pengubahsuaiannya “untuk memberikan nilai yang dipertingkatkan kepada pelanggan kami”.

Ketua Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah, berkata AEON BiG antara senarai pelanggan yang mencari penyelesaian kewangan fleksibel dan berskala untuk membantu mereka berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah, berkata lebih ramai pelanggan domestik dan antarabangsa bank itu kini mencari penyelesaian pembiayaan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.