
Ketua Umno Sabah berkata, Akmal diberitahu untuk berbuat demikian selepas didedahkan bahawa KK Mart tidak mempunyai kawalan ke atas bekalan stoking itu serta telah memohon maaf dengan segera
“Ini bukan soal sama ada kita setuju dengan Akmal atau tidak, tetapi Umno sudah mengarahkannya untuk berhenti (membangkitkan isu itu) pada mesyuarat baru-baru ini.
Malah presiden parti, Zahid Hamidi, dan Yang di-Pertuan Agong (juga) telah menyeru agar isu itu ditamatkan,” katanya, lapor The Vibes.
Kontroversi melanda KK Mart bermula pada 13 Mac apabila gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemukan di cawangannya di Bandar Sunway tersebar di media sosial.
Syarikat itu kemudian memohon maaf, tetapi Akmal terus berkempen secara terbuka agar rangkaian kedai serbaneka itu diboikot di seluruh negara.
Tindakannya itu mengundang kritikan banyak pihak, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa Akmal berhenti menghentam KK Mart kerana “mesejnya sudah sampai”.
Pengasas dan Pengarah KK Mart, Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui, mengaku tidak bersalah atas kesalahan dengan sengaja melukakan perasaan agama umat Islam apabila stoking itu dijual di kedai serbaneka itu.
Sementara itu, tiga cawangan KK Mart, termasuk di Kuching, Sarawak, diserang dengan bom petrol sejak seminggu lalu, dalam kejadian yang turut dikecam Akmal.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa pihak yang menyeru KK Mart diboikot agar berhenti menghasut rakyat atau bertanggungjawab atas serangan terhadap cawangan kedai itu.
Menurut Bung, seorang bekas Adun Sabah mengaitkan kejadian serangan bom petrol itu Umno negeri dalam gesaannya agar rakyat Sabah menolak parti itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, gesaan itu “agak melucukan” kerana Umno Sabah “bukannya golongan ekstremis mahupun rasis”.
“Setiap hari saya bekerja dengan golongan bukan Islam. Saya turut menggesa agar ahli Umno bukan Islam menafikan semua kenyataan itu.
“Bekas Adun itu tak boleh menghakimi kami sebegitu. Jika perkara itu berlaku di Semenanjung, janganlah bawa ke sini (Sabah),” katanya.