Tiada laporan terhadap Akmal berkait gambar pedang, kata KPN

Tiada laporan terhadap Akmal berkait gambar pedang, kata KPN

Razarudin Husain menjawab pertanyaan Ti Lian Ker kenapa ketua Pemuda Umno itu belum disiasat kerana menghasut.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis hanya akan memulakan siasatan jika ada laporan.
PETALING JAYA:
Polis tidak menerima laporan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berhubung gambarnya menghunus pedang yang dimuat naik ke Facebook, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Ti Lian Ker mengapa Adun Merlimau itu belum disiasat kerana menghasut.

Razarudin berkata, mengikut prosedur standard, polis hanya akan memulakan siasatan jika ada laporan dibuat.

Pada 14 Mac lalu, Akmal memuat naik gambarnya menghunus pedang yang diambil semasa lawatannya ke Jepun baru-baru ini dengan catatan: “Walau apapun yang menimpa, kami tidak akan berganjak dengan pendirian kami. Biar mati berdiri daripada hidup melutut.”

Ti kemudian bertanya mengapa Akmal tidak disiasat atau diberikan amaran, sementara veteran DAP Lim Kit Siang disoal siasat hanya kerana “menterjemah Perlembagaan”.

Disember lalu, Bukit Aman mengesahkan akan mengambil keterangan Lim sebagai respons terhadap komennya di blognya berhubung kemungkinan bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Rusdi Isa dilaporkan berkata Lim menyentuh isu Perlembagaan.

Lim dilaporkan berkata beliau didakwa mencetuskan provokasi, tetapi menegaskan itu bukan niatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.