Pengasas KK Mart menghadap Agong, mohon maaf isu stoking kalimah Allah

Pengasas KK Mart menghadap Agong, mohon maaf isu stoking kalimah Allah

Sultan Ibrahim menekankan semua pihak termasuk KK Mart lebih berhati-hati terhadap produk dijual bagi mengelak perkara itu berulang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Chai Kee Kan di Istana Negara.

Dalam sesi menghadap berlangsung selama 15 minit, Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Agong kepada Royal Press Office (RPO).

Kontroversi KK Mart bermula 13 Mac lalu apabila beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah ditemui di cawangannya di Bandar Sunway tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Sebelum ini Chai dan isterinya Loh Siew Mui yang juga pengarah KK Mart didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain kerana menjual stoking itu.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Isu itu berlarutan apabila tiga cawangan KK Mart dibaling bom petrol iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang serta kejadian terbaru di Kuching, Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.