Pendakwaan mohon batal semakan Muhyiddin

Pendakwaan mohon batal semakan Muhyiddin

Notis bantahan awal mengatakan permohonan semakan bekas perdana menteri itu adalah remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memohon panel Mahkamah Rayuan lain menggunakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Feb membatalkan pembebasannya daripada empat pertuduhan salah guna kuasa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan memohon untuk membatalkan permohonan Muhyiddin Yassin bagi semakan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Feb membatalkan pembebasannya daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi ketika kes itu disebut hari ini.

Salinan bantahan awal pihak pendakwaan yang dilihat FMT, berkata permohonan semakan bekas perdana menteri itu adalah remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Muhyiddin dalam permohonan semakannya meminta panel Mahkamah Rayuan yang lain menggunakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi dibuat pada 15 Ogos 2023.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak termasuk dalam bidang kuasa yang diberikan oleh Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dalam memutuskan bahawa pertuduhan itu cacat.

“Pertuduhan itu tidak jelas. Tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan,” kata Hadhariah.

Muhyiddin didakwa pada Mac tahun lalu atas tuduhan menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021 berhubung program Jana Wibawa dengan berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.

Azura menetapkan satu tarikh sebutan lain pada 8 Mei, sementara menunggu keputusan pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 16 April.

Terdahulu, Wan Shaharuddin menggesa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan memandangkan pihak pendakwaan telah memberikan Muhyiddin semua dokumen diperlukannya untuk menyediakan pembelaannya bagi kes salah guna kuasa.

“Tambahan pula, peguam bagi tertuduh tidak memfailkan sebarang permohonan untuk menangguhkan prosiding,” katanya.

Peguam K Kumaraendran bagaimanapun menggesa Azura menetapkan satu lagi tarikh sebutan kerana pihak pembelaan perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan minggu lalu.

Seorang lagi peguam, Amer Hamzah Arshad, berkata terlalu awal untuk menetapkan tarikh perbicaraan kerana mahkamah juga perlu memutuskan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

“Tambahan pula, terdapat permohonan oleh pihak pendakwaan untuk mengadakan perbicaraan bersama ke atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.