MAIWP selesai bayar hutang kontraktor, kos undang-undang

MAIWP selesai bayar hutang kontraktor, kos undang-undang

Peguam Latitude Resources Sdn Bhd, Omar Kutty Abdul Aziz berkata syarikat itu mengucapkan terima kasih kepada MAIWP kerana perkara itu selesai secara baik.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer sebelum ini berkata hutang itu akan dijelaskan sebaik sahaja pembekal berkenaan mendaftar dengan eVendor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah menyelesaikan hutang berjumlah RM222,093.72 kepada pembekal yang terbabit dalam pembinaan sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz, yang mewakili syarikat pembekal bahan binaan Latitude Resources Sdn Bhd, berkata MAIWP juga sudah menyelesaikan kos berjumlah RM8,000.

Beliau memberitahu FMT, bayaran itu dibuat secara tiga kali ansuran, dengan bayaran terakhir dibayar pada Isnin lalu.

“Anak guam saya mengucapkan terima kasih kepada MAIWP kerana menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya kepada FMT.

Pada 19 Mac lalu, FMT melaporkan Latitude Resources, mengancam mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Syed Kamarulzaman jika MAIWP enggan membayar RM222,093.72 dan kos guaman RM8,000.

Syarikat itu mahu MAIWP membayar hutang itu mengikut perintah yang digarnis atau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap badan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer menjelaskan bahawa tunggakan tersebut berpunca daripada “masalah teknikal” kerana MAIWP lewat menerima surat tuntutan yang dihantar kontraktor berkenaan.

“Punca sebenar kepada masalah ini bukan kami tidak mahu bayar tapi disebabkan masalah teknikal,” kata Syed Kamarulzaman kepada Sinar Harian.

“Malah, MAIWP juga bersedia untuk membuat pembayaran segera tetapi kami dimaklumkan peguamnya, mereka belum mendaftar dengan eVendor iaitu satu sistem di bawah Jabatan Akauntan Negara.

“Pembayaran dijangka akan dibuat menjelang 28 Mac ini jika sekiranya segala proses pendaftaran dengan sistem tersebut selesai sepenuhnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.