
Beberapa ibu bapa ditemui FMT menghargai usaha kerajaan itu kerana dapat meringankan beban berbelanja menyediakan kelengkapan persekolahan bermula Mac disusuli sambutan Aidilfitri sebulan kemudiannya.
Bagi seorang peniaga, Wan Hanif Wan Yusuf, 45, bantuan persekolahan RM150 bagi setiap pelajar itu benar-benar membantu ibu bapa dan berharap ia dikekalkan pada masa depan.

“Macam sekarang sudah bulan puasa dan bakal sambut hari raya, jadi bantuan ini memang bantu,” katanya kepada FMT mengulas penyaluran lebih awal BAP yang tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM788.1 juta memanfaatkan lebih 5.25 juta murid.
Peruntukan bantuan kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa itu meningkat berbanding RM450 juta pada tahun ini.
BAP bernilai RM150 diberikan kepada warganegara dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf, bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan; sekolah agama; sekolah swasta berdaftar dengan kerajaan; Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Integriti, dan Sekolah Henry Gurney.

Bagi pesara Yaakob Mohd Said, 58, berkata bantuan persekolahan itu dimanfaat sepenuhnya untuk membeli keperluan dua anaknya yang masih di bangku sekolah.
“Alhamdulillah. Sedikit sebanyak membantu untuk beli pakaian dan buku,” katanya yang kini hanya bergantung kepada bayaran pencen untuk menanggung sekolah.

Sementara itu, pekerja swasta Raja Nagesan, 43, pula berkata kerajaan tidak perlu bimbang ibu bapa akan menyalahgunakan bantuan itu.
“Wang ini kita guna untuk (persekolahan) anak-anak. Kita pun senang hati (ringan beban),” katanya yang menanggung dua anak masih bersekolah.