Tipu urusan pembekalan kereta import terpakai, wanita mengaku tak salah

Tipu urusan pembekalan kereta import terpakai, wanita mengaku tak salah

Nur Luzianna Mohd Ramalan didakwa menipu seorang ahli perniagaan sehingga mendorong mangsa membayar RM1.4 juta antara 2018 hingga 2020.

Nur Luzianna Mohd Ramalan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung urusan pembekalan 21 unit kereta import terpakai pelbagai jenama enam tahun lepas.

Nur Luzianna Mohd Ramalan, 36, didakwa menipu Abdul Wahab S Mohd Mydin, 55, sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1,409,000 ke dalam dua akaun bank miliknya di sebuah restoran di pusat beli-belah di Brickfields antara 6 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM200,000 namun peguam Luqman Hakim Azhar memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja selain tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam saya kini mengandung dua bulan dan mempunyai tiga anak berumur antara enam tahun hingga 16 tahun,” katanya.

Hakim Azrul Darus membenarkan Nur Luzianna diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan dia dikehendaki melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Sebutan kes ditetapkan pada 2 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.