
Baru Bian berkata, pada masa lalu, apabila kejadian seumpama itu dilaporkan di Semenanjung Malaysia, rakyat Sarawak berasa bangga dan gembira kerana ia tidak berlaku di negeri Malaysia Timur itu, di mana rakyat telah hidup bersama secara harmoni berabad-abad lamanya.
“Kita ingat kita terlindung daripada sikap tidak bertolak ansur dan ekstremisme yang dipamerkan dengan jelik oleh golongan oportunis politik dan fanatik agama di Semenanjung Malaysia.
“Nampaknya kita tersilap,” kata Adun Ba’Kelalan itu dalam kenyataan.
Baru berkata, serangan itu juga menunjukkan bahawa mungkin terdapat sekumpulan kecil individu yang cenderung kepada tindakan keganasan dan pemusnahan seperti itu.
Untuk mengekang pengaruh golongan ini, katanya, pemimpin politik dan agama perlu bersuara.
“Jika kita diamkan, golongan ekstremis akan lebih berani untuk memupuk ketakutan dalam kalangan rakyat, dan lama-kelamaan mereka akan mengawal naratif negara,” katanya.
Baru, yang pernah bertugas sebagai menteri kerja raya dari 2018 hingga 2020, mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof – yang berasal dari Sarawak – kerana mengambil pendirian tegas mengecam serangan itu dan menggesa agar pelakunya diberkas.
Pihak berkuasa mesti dilihat bertindak segera untuk mengheret individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, katanya.
“Tiada siapa berhak bertindak sendiri dan kelakuan sedemikian mesti dibanteras awal sebelum ia menjadi lebih buruk.”
Malam tadi, Dr Kelvin Yii daripada DAP berkata, beliau terkejut dengan serangan bom petrol di cawangan KK Mart itu.
“Dalam banyak-banyak tempat, kita tidak menyangka ia berlaku di Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai Bandaraya Perpaduan, tempat di mana selama ini kita belajar hidup harmoni tidak kira kaum, agama, dan latar belakang,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching itu kepada FMT.
Serangan ke atas kedai KK Mart di Kuching pada Ahad itu ialah kejadian ketiga seumpamanya dalam tempoh seminggu. Kejadian itu dilaporkan oleh seorang pekerja cawangan itu, yang terletak di Jalan Satok.
Sebelum ini, cawangan KK Mart di Bidor, Perak, dan Kuantan, Pahang turut menjadi mangsa serangan serupa.
KK Mart dilanda kontroversi sejak 13 Mac selepas stoking yang tertera kalimah “Allah” ditemukan di cawangannya di Bandar Sunway, mencetuskan gesaan oleh Pemuda Umno agar rangkaian kedai serbaneka itu diboikot di seluruh negara.