Rakyat Malaysia ada hak protes, boikot, kata duta AS

Rakyat Malaysia ada hak protes, boikot, kata duta AS

Bagaimanapun Edgard D Kagan berkata tindakan boikot hanya memberi kesan kepada pekerja tempatan.

Duta Besar Amerika Syarikat Edgard D Kagan bercakap dengan media tempatan ketika sesi perbincangan di kediamannya di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Amerika Syarikat (AS) menyokong hak rakyat Malaysia untuk mengadakan perhimpunan aman di luar kedutaannya sebagai cara menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap Israel berhubung konflik Gaza, kata Duta Besar Edgard D Kagan.

Kagan, yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Mac, berkata beliau faham realiti praktikal pendirian rakyat Malaysia terhadap konflik Hamas-Israel.

“Kami sangat menyokong hak untuk mengadakan bantahan secara aman dan, jelas, pilihan kami adalah supaya mereka tidak melihat kami sebagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap Israel, kerana kami bukan Israel.

“Bagaimanapun, kami juga memahami bahawa itu adalah realiti yang kami perlu hadapi,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada sokongan dan kerjasama kerajaan dan polis dalam memastikan keselamatan fasiliti kedutaan serta kakitangan semasa protes berlangsung.

Tahun lalu, tiga protes pro-Palestin diadakan berdekatan Kedutaan AS sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin dan untuk mengecam Israel atas serangannya terhadap Gaza.

Dua perhimpunan diadakan pada Oktober, dengan kira-kira 1,500 peserta berarak ke Kedutaan AS. Kumpulan lain, Sekretariat Solidariti Palestin, cuba melaksanakan “kepungan” selama enam hari di luar kedutaan.

Mengenai rakyat Malaysia yang memboikot produk berkaitan AS, Kagan berkata, tindakan itu juga adalah hak mereka untuk menyuarakan pandangan secara aman.

Bagaimanapun, beliau berkata produk yang menjadi sasaran boikot tidak terjejas secara langsung.

Dua perniagaan utama yang diboikot, dalam kedua-dua kes. Satu dimiliki oleh rakyat Malaysia, satu dimiliki oleh perniagaan Arab Saudi.

“Orang yang terjejas akibat boikot ini pekerja rakyat Malaysia. Mungkin ada kepuasan simbolik dalam melakukannya, tetapi pada hakikatnya, orang yang benar-benar terjejas bukanlah Israel dan bukannya AS,” katanya, menggambarkan situasi itu sebagai “malang”.

Dicetuskan oleh perang Israel-Palestin, kempen boikot menjejaskan jenama Barat di Malaysia seperti Starbucks dan McDonald’s.

Pada 4 Mac, Pengasas Berjaya Corp Bhd, Vincent Tan, menggesa orang ramai berhenti memboikot Starbucks Malaysia, dan berkata ia hanya menjejaskan rakyat yang menjalankan perniagaan itu.

Taikun perniagaan itu berkata, hampir 85% pekerja Starbucks Malaysia adalah orang Islam dan tidak ada warga asing yang bekerja di ibu pejabat syarikat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.