
Beliau berkata, polis memburu dua atau lebih individu dalam siasatan dijalankan mengenai sebab warga Israel itu berada di Malaysia.
Pada sidang media Razarudin berkata, suspek terbabit terdiri rakyat tempatan dan warga asing dikehendaki berhubung pemilikan senjata api.
Katanya, lebih 23 saksi sudah memberikan keterangan.
Minggu lalu, polis menahan warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang dan merampas enam senjata api bersama 200 peluru.
Media Israel mengenal pasti suspek itu sebagai Shalom Avitan, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Musli Brothers.
Avitan dikatakan berada di Malaysia untuk menyasarkan ketua keluarga lain yang menjadi saingan mereka.
Razarudin kemudian mengesahkan tiga rakyat Malaysia ditahan pada Jumaat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Avitan.
Mereka ditahan terdiri suami isteri yang disyaki menjual senjata api kepada Avitan, dan seorang lelaki dipercayai menjadi pemandunya.
Polis juga sedang menyiasat kebarangkalian Avitan sebenarnya ialah ejen Israel, dan dia tidak bertindak sendirian.
Razarudin berkata, suspek mendakwa membeli semua senjata api itu, termasuk pistol Sig Sauer, Glock 27, dan Smith & Wesson, semasa berada di Malaysia.
Suspek memasuki negara menggunakan pasport Perancis, tetapi menyerahkan pasport Israelnya semasa disoal siasat, katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, suspek memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis yang sah dan tidak timbul persoalan tentang kelemahan keselamatan di pintu masuk negara.
Bagaimanapun, Razarudin mengakui, terdapat kemungkinan wujud kelompangan yang membolehkan senjata api atau barangan larangan lain diseludup ke Malaysia.
Beliau berkata, polis akan terus memperkukuh pintu masuk negara bagi memastikan sempadan kekal selamat.