Pemilihan Bersatu: Lebih banyak muka baharu dijangka barisi kepimpinan

Pemilihan Bersatu: Lebih banyak muka baharu dijangka barisi kepimpinan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Rosol Wahid berkata kehadiran lebih ramai Adun dan Ahli Parlimen dalam parti itu memberikan lebih banyak pilihan kepada perwakilan.

Rosol Wahid berkata 31 Ahli Parlimen dan 60 Adun parti itu memberikan perwakilan lebih banyak pilihan calon untuk memegang jawatan pemimpin parti bagi tempoh tiga tahun akan datang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bersatu mungkin melihat lebih banyak muka baharu dalam kepimpinan tertinggi selepas pemilihan parti tahun ini, menurut seorang ahli majlis tertinggi.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, berkata ini disebabkan parti itu mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen dan Adun kini berbanding ketika mengadakan pemilihan parti pada 2020.

Rosol Wahid.

Menurutnya, penambahan itu memberikan perwakilan lebih banyak pilihan calon untuk memegang jawatan pemimpin parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Ada ‘line up’ baharu, insya-Allah. Sebab kita dah ramai Ahli Parlimen dan Adun,” kata timbalan ketua Bersatu Terengganu itu kepada FMT.

Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen dan 60 Adun. Pemilihan parti dijangka diadakan tahun ini selepas ditangguhkan selama 18 bulan.

Bagaimanapun, Rosol tidak menjangka persaingan sengit memandangkan kedudukan Presiden Muhyiddin Yassin berkemungkinan tidak dicabar.

Ketika perhimpunan agung tahunan parti pada November, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya yang membawa kepada spekulasi bahawa Setiausaha Agung parti, Hamzah Zainudin akan menggantikannya.

Hamzah kini adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, kemudian menukar keputusan itu.

Minggu lalu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menafikan kemungkinan beliau akan mencabar Muhyiddin.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Redzuan Yusof berkata beliau hanya akan mengambil bahagian dalam pemilihan itu jika diperlukan parti.

Naib Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin berkata, majoriti pemimpin parti masih percayai bahawa Muhyiddin patut kekal memimpin parti.

Katanya, kepimpinan dan pengalaman Muhyiddin perlu untuk mengukuhkan Bersatu, yang disifatkannya masih parti muda.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, tiada sesiapapun menunjukkan minat untuk mencabar Muhyiddin bagi jawatan itu.

“Dari segi presiden, kita (masih) memerlukan Muhyiddin. Jawatan lain terpulang kepada sesiapa saja yang merasakan diri mereka layak untuk membantu kepimpinan Bersatu, untuk perkukuhkan lagi Bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.