Malaysia kecam tindakan Israel serang konsulat Iran di Damsyik

Malaysia kecam tindakan Israel serang konsulat Iran di Damsyik

Wisma Putra berkata tindakan sengaja sasar premis diplomatik jelas langgar undang-undang antarabangsa.

Serangan pesawat perang F-35 Israel ke atas bangunan tambahan konsulat itu mengorbankan tujuh nyawa pada Isnin. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mengecam tindakan menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

Wisma Putra berkata, Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi itu. Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera.

“Tindakan sengaja menyasarkan premis diplomatik ini adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati premis diplomatik sebagai kawasan mutlak bagi sesebuah negara. Insiden ini telah memberikan petanda bahawa perlunya dialog bagi meredakan konflik di rantau ini,” katanya menurut kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menekankan kepentingan penyiasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu dan menggesa semua pihak mengelakkan sebarang provokasi yang boleh meningkatkan ketegangan.

Pesawat perang Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan tambahan konsulat bersebelahan bangunan kedutaan utama, mengakibatkan kematian tujuh penasihat tentera pada Isnin, menurut laporan agensi berita Iran IRNA, memetik Kor Pengawal Revolusi Islam.

Duta Iran ke Syria Hossein Akbari, yang berada di pejabatnya di kedutaan itu semasa serangan, mengesahkan bahawa pesawat perang F-35 Israel dari Dataran Tinggi Golan yang didudukinya, melancarkan enam peluru berpandu di bangunan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.