Harga stabil, ayam tak masuk skim harga maksimum Aidilfitri

Harga stabil, ayam tak masuk skim harga maksimum Aidilfitri

Senarai bawah skim itu hanya melibatkan barangan yang mempunyai risiko kenaikan harga keterlaluan, kata Armizan Mohd Ali.

Armizan Mohd Ali bersama senarai barangan terbabit dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri.
NILAI:
Ayam tidak tersenarai antara barangan yang terbabit dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berikutan harganya di pasaran stabil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, senarai bawah skim itu hanya melibatkan barangan yang mempunyai risiko kenaikan harga keterlaluan.

Menurutnya, hasil pemantauan dan jaminan bekalan mencukupi, harga ayam di pasaran didapati stabil.

“(Malah) lebih rendah berbanding harga masa kita laksanakan harga maksimum untuk ayam (sebelum ini),” katanya pada sidang media semasa mengumumkan skim tersebut.

Armizan berkata, skim tersebut akan berkuatkuasa dari Jumaat ini hingga 19 April. Sebanyak 22 barangan tersenarai, termasuk daging lembu tempatan dan import; bawang; cili merah; kelapa biji dan kelapa parut; serta ikan-ikan seperti kembung, mabung, selayang dan tongkol.

Sementara itu, Armizan berkata, berdasarkan Ops Pantau bermula 12 Mac hingga semalam, sebanyak 146 kes melibatkan kesalahan oleh peniaga di bazar Ramadan dikesan, hasil 1,030 aduan yang diterima.

Katanya, sebanyak 32,348 premis diperiksa dan kompaun berjumlah RM19,100 dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.