
Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga menggesa orang ramai menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dan menangkap pihak yang terlibat.
“Saya mahu polis mengesan suspek terlibat dan mendakwa mereka dengan segera,” katanya kepada FMT.
Serangan di cawangan kedai KK Mart di Kuching itu, adalah kejadian ketiga membabitkan rangkaian kedai serbaneka tersebut dalam tempoh seminggu. Kejadian itu dilaporkan oleh seorang pekerja kedai berkenaan yang terletak di Jalan Satok.
Dua lagi serangan sebelum ini berlaku di cawangan KK Mart di Bidor, Perak, dan di Kuantan, Pahang, pada minggu lalu.
Pada 26 Mac lalu, satu objek dipercayai bom petrol dilaporkan dibaling di cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, tetapi bom itu tidak meletup.
Sabtu lalu, bahagian pintu masuk sebuah cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang rosak akibat terbakar dipercayai akibat dibaling “molotov cocktail”.
KK Mart diselubungi kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di KK Mart Bandar Sunway tersebar di media sosial sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.
Syarikat itu sudah memohon maaf dan menyatakan kekesalan berhubung insiden tersebut.
Pengasas KK Mart dan isterinya, serta tiga pengarah syarikat yang mengedar stoking berkenaan juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
Bagaimanapun, semua mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, dari DAP berkata beliau tidak menyangka kejadian seperti itu berlaku di Kuching yang dikenali sebagai Bandaraya Perpaduan, tempat di mana selama ini penduduknya hidup harmoni tidak kira kaum, agama, dan latar belakang.