Tengku Permaisuri Selangor tak setuju kaedah tangkap, lupus anjing terbiar

Tengku Permaisuri Selangor tak setuju kaedah tangkap, lupus anjing terbiar

Tengku Permaisuri Norashikin dukacita terhadap perkembangan operasi menangkap anjing liar di Selangor termasuk membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

MBSA dilaporkan akan melancarkan operasi menangkap anjing liar di Setia Alam pada 22 hingga 22 April ini.
PETALING JAYA:
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu mencari pendekatan baharu menguruskan isu anjing terbiar.

Dalam satu kenyataan, Tengku Permaisuri Norashikin tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus oleh mana-mana PBT termasuk isu tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Baginda yang juga Penaung diraja bagi kempen Stray Free Selangor di bawah Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Haiwan (SPCA) Selangor menegaskan banyak kaedah lain lebih bersesuaian menangani isu terbabit seperti pemandulan.

“Saya mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar ini,” katanya.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin adalah penaung Diraja kempen Stray Free Selangor di bawah Persatuan Kebajikan dan Perlindungan Haiwan (SPCA) Selangor. (Gambar Facebook)

Tengku Permaisuri Selangor itu juga mencadangkan rumah perlindungan haiwan terbiar dibina di setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk.

“PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.”

FMT sebelum ini melaporkan gesaan sebuah kumpulan hak asasi haiwan supaya MBSA mempertimbangkan semula rancangannya untuk mendapatkan sukarelawan untuk menangkap dan membunuh anjing liar di Setia Alam pada 22 hingga 24 April ini.

Menerusi notis dikeluarkan MBSA, pihaknya menyasar menangkap 500 anjing liar dan mencadangkan sukarelawan menerima sagu hati RM30 untuk setiap anjing ditangkap semasa operasi dijalankan itu.

Tengku Permaisuri Norashikin juga meminta SOP penangkapan dan pelupusan anjing terbiar di bawah seliaan PBT diteliti semula sesuai dengan situasi semasa.

“Saya benar-benar berharap usaha menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.