
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata projek yang diilhamkan sebuah syarikat swasta berpangkalan di Brunei itu seharusnya mempertimbangkan pantai timur Sabah dalam jajaran berkenaan memandangkan sudah wujud aktiviti ekonomi antara penduduk di Tawau dan Kalimantan Utara – ibu negara Indonesia baharu.
“Trans Borneo yang sepatutnya, jika dilihat hari ini kalau kita melawat Kalimantan Utara malahan selatan, sebahagian besar barangan yang dijual di kedai-kedai di Kalimantan datangnya dari Tawau.
“Maknanya sudah ada hubungan antara Indonesia dan Malaysia yang sepatutnya kita manfaatkan,” katanya kepada media di Kota Belud, mengulas cadangan projek kereta api berkelajuan tinggi Trans Borneo.
Syarikat Brunergy Utama Sdn Bhd mengemukakan cadangan untuk membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang dinamakan Kereta Api Trans Borneo (TBR) sepanjang 1,620 kilometer.
Projek itu dicadang menghubungkan bandar kuasa ekonomi keempat-empat wilayah, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat ke Kuching dan bandar utama lain di Sarawak hingga ke Brunei dan Kota Kinabalu di Sabah bagi fasa pertama.
Fasa kedua pula dicadang menghubungkan Brunei dengan Sarawak dan Kalimantan Utara serta Kalimantan Timur melalui beberapa destinasi, antaranya Ba’kelalan di Sarawak selain Malinau, Tanjung Selor, Samarinda, Balikpapan dan akhirnya di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan.
Pada November lalu, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi memaklumkan kementeriannya menerima cadangan awal mengenai idea projek mega itu daripada Kementerian Pengangkutan.
Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri Shahelmey Yahya berkata kementerian pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu membabitkan laluan di Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Shafie berkata kawasan pantai timur Sabah khususnya Tawau kaya dengan sumber mentah terutama kayu balak, kelapa sawit dan emas yang jika diberi lebih tumpuan bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah, malah negara keseluruhannya.
“Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di situ (Tawau) sepatutnya diwujudkan di samping laluan kereta api supaya dapat kita sambungkan ke pantai timur dan barat Sabah supaya jaringan itu dapat kita wujudkan untuk memberi manfaat kepada negara-negara bukan saja Malaysia tetapi Brunei.
“Tetapi malangnya saya lihat perkara ini tidak wujud dalam kerangka kerja Trans Borneo yang ada,” katanya.
Justeru, Shafie berkata beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum projek berkenaan dimuktamadkan.
“Saya akan bangkitkan perkara ini untuk maklumkan kepada perdana menteri malahan juga di Parlimen nanti untuk membolehkan ada nilai tambah,” katanya.