
“Pilihan kepada penganjur, bukan paksaan untuk tutup karnival berkenaan. Kerajaan negeri hanya menegur dan minta hentikan aktiviti tidak bersesuaian dengan Ramadan saja.
“Kita tegaskan kepada penganjur hentikan pengisian program yang tidak sihat seperti hiburan, bukannya tutup ekspo itu,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian susulan video tular menunjukkan selebriti Azwan Ali bersama beberapa lelaki menari ala dangdut di atas pentas yang dikecam warganet kerana berlaku pada bulan Ramadan, manakala peniaga pula menangis karnival itu ditutup kerana didakwa mengalami kerugian.
Susulan itu, penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024, Maju Kedah Resources memohon maaf dan berkata persembahan itu di luar jangkaan pihaknya kerana ia tiada dalam atur cara program.
Katanya, mereka menerima teguran Adun Bayu, Mohd Taufik Yaacob dan menutup Fiesta Raya Baling 2024 atas dasar tanggungjawab terhadap insiden itu.
Mansor berkata, beliau bersimpati dengan peniaga dan percaya penganjur mengambil keputusan menutup karnival itu selepas meneliti beberapa kriteria, termasuk lokasi penganjuran kurang mendapat sambutan.
“Kita simpati terhadap peniaga, namun penganjur sepatutnya tahu batas-batas kerana kita sudah tegaskan, malah surat arahan pihak berkuasa tempatan kepada penganjur untuk hormati Ramadan.”
Beliau berharap Menteri Besar, Sanusi Md Nor tidak diheret dalam isu itu.
“Selaku exco berkaitan, saya mohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab kerana isu ini di bawah portfolio saya.”