Rompakan di premis, Ninja Van buat siasatan dalaman

Rompakan di premis, Ninja Van buat siasatan dalaman

Ia susulan laporan lima lelaki menyasarkan peti simpanan milik syarikat kurier dan penghantaran itu, ditembak mati polis.

Ninja Van Malaysia berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka. (Gambar Ninjavan)
PETALING JAYA:
Syarikat kurier dan penghantaran, Ninja Van Malaysia sedang menjalankan siasatan dalaman susulan laporan rompakan menyasarkan peti simpanan di premisnya oleh kumpulan dikenali “Geng Ninja Van”.

Syarikat itu berkata, kes terbabit sedang disiasat polis dan ia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan penyelesaian segera.

“Kami ingin menjelaskan tindakan ini tiada kaitan langsung dengan Ninja Van atau kakitangan kami. Keutamaan kami ialah keselamatan bungkusan pelanggan kami, kebajikan pekerja dan rakan kongsi kami.

“Kami sedang menjalankan siasatan dalaman ketat sendiri untuk memastikan fakta dan melaksanakan langkah bagi mengelakkan sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, lima suspek samun bersenjata yang maut berbalas tembakan dengan polis di Putra Heights, Selangor, menyamun premis milik Ninja Van dengan menyasarkan peti simpanan pada malam sebelumnya.

“Kami percaya geng itu mempunyai lebih daripada lima ahli. Mereka boleh mendapatkan maklumat daripada orang dalam di premis masing-masing (yang mereka samun),” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, lima lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau bagi 50 kesalahan dalam kalangan mereka.

“Siasatan kami mendapati geng itu melakukan 50 kes samun di Selangor dan Kuala Lumpur. Mereka menyasarkan kilang, pejabat dan rumah. Terdapat kes di mana mereka menyerang mangsa mereka secara ganas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.