Akmal harus letak jawatan seperti dijanjikan, kata Ti

Akmal harus letak jawatan seperti dijanjikan, kata Ti

Senator itu turut mempersoalkan sama ada Umno harus dipertanggungjawabkan kerana menyokong pendirian ketua pemudanya.

Senator Ti Lian Ker mengingatkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tentang “janjinya” untuk meletak jawatan.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh harus meletak jawatan berikutan peningkatan ketegangan kaum dan kejadian beberapa cawangan kedai serbaneka KK Mart dilempar bom petrol baru-baru ini, kata senator Ti Lian Ker.

“Akmal harus bertanggungjawab dan berundur daripada jawatan seperti yang dijanjikannya. Ada ramai lagi pemimpin Pemuda Umno yang lebih bertanggungjawab dan tidak bengkeng,” kata bekas naib presiden MCA itu di platform media sosial X.

Ti merujuk kepada laporan Utusan Malaysia awal bulan ini yang memetik Akmal sebagai berkata beliau lebih “rela hilang jawatan” daripada tidak mempertahankan Islam dalam isu stoking tertera kalimah Allah.

Akmal dilaporkan berkata, walaupun perjuangannya mempertahankan kalimah suci Islam itu akan menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan, beliau akan terus mempertahankan agamanya.

“Saya tidak kisah DAP atau mana-mana menteri mahu serang saya, tetapi saya bercakap, saya berdiri atas agama saya. Kalau Nga Kor Ming kata bila saya buat begini boleh hilang sokongan, saya nak beritahu mereka ini cara Umno bila ada pihak yang persendakan agama Islam.

“Saya rela hilang jawatan, tanggungjawab sudah saya laksanakan untuk bela agama saya. Jawatan ini nombor dua,” katanya.

Ti juga mempersoalkan sama ada Umno turut harus bertanggungjawab kerana menyokong Akmal dan “mengesahkan kenyataan dan ucapan berbaur kebencian” yang dikeluarkannya.

“Adakah MCA dan MIC (juga) perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal bersidang dan menetapkan pendirian atas semangat BN? Patutkah Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan (perpaduan) dipersalahkan atas tindakan (Akmal)?”

Minggu lepas, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menyokong penuh pendirian Akmal, walaupun dikecam oleh MCA dan DAP berhubung gesaannya yang berterusan untuk memboikot rangkaian KK Mart.

Tambahnya, pendirian itu turut dihormati pemimpin dalam kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.