

Ito, 73, yang baharu sahaja menyiapkan sebuah album sempena tahun ke-50 kumpulannya dalam industri seni berkata kerjasama antara media dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam mencari dana untuk disumbangkan kepada penggiat seni yang memerlukan harus diteruskan, selain menjadi ikutan.
“Ikhtiar yang cukup baik antara Karyawan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan juga FMT.

“Memang artis perlukan banyak persatuan macam Karyawan sebab dalam industri ini macam-macam boleh berlaku. Kita kena banyak bersama dan bergabung. Apa yang dilakukan hari ini satu usaha yang cukup baik,” katanya, yang sedang mempersiapkan diri untuk menjayakan pertunjukan tahunan Blues Festival di Langkawi.
FMT pada Khamis dengan kerjasama Karyawan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), menganjurkan Majlis Iftar Bersama Penggiat Seni Tanah Air untuk menyampaikan sumbangan kepada 50 artis memerlukan.

Usaha itu disambut baik penyanyi lagenda, Uji Rashid, 71, yang menyarankan program sebegitu diadakan lebih kerap dan tidak hanya setahun sekali.
“Tak semua yang tak bernasib baik ada di sini sekarang. Kalau artis itu dipilih, saya fikir yang mana tak dipilih itu akan kecil hati,” ujarnya yang kini tampil berniqab.

Cadangan Uji itu turut diutarakan penyanyi dan pelakon veteran, Sophia Ibrahim.
Ujar kakak kepada penyanyi popular, Khadijah Ibrahim itu, program sebegitu medan artis veteran berkumpul dan mengeratkan silaturahim.
“Artis veteran banyak yang dah sakit, uzur, ada yang sudah tinggalkan kita,” katanya yang masih menerima tawaran berlakon dan diundang menyanyi pada usianya 76 tahun.

Lain pula bagi pelakon handalan, Mak Jah, atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad, 76, yang sudah dua tahun tidak muncul di kaca televisyen.
“Kalau ada siapa-siapa telefon ‘buat apa duduk rumah?’ Saya duduk di rumahlah, saya bayar ‘hutang’. Bayar hutang apa? Banyak ke berhutang? Dengan siapa? Tak dengan orang, insyaAllah, saya tak ada berhutang dengan orang.
“Saya ‘berhutang’ pada Allah. Jadi saya bayar ‘hutang-hutang’ saya pada Allah”.
Menurut Mak Jah, beliau ada diberi tawaran berlakon namun kesihatan tidak mengizinkan.
“Saya hanya bergantung pada bantuan bulanan RM500 dan ada rakan artis yang prihatin membantu Mak Jah. Syukur Alhamdulillah,” katanya menahan sebak.