Kekal padang Stadium Nasional di tahap terbaik seperti Wembley, kata bekas pemain bola

Kekal padang Stadium Nasional di tahap terbaik seperti Wembley, kata bekas pemain bola

Stanley Bernard berkata, stadium Wembley di London tidak pernah berdepan masalah dengan keadaan padangnya, walaupun digunakan untuk acara lain seperti konsert.

Peminat bola sepak mengkritik padang Stadium Nasional di Bukit Jalil tidak berada di tahap terbaik untuk kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Oman.
PETALING JAYA:
Malaysia perlu mencontohi Stadium Wembley, gelanggang tuan rumah pasukan bola sepak England, dalam menentukan hala tuju Stadium Nasional di Bukit Jalil, kata bekas pemain bola sepak antarabangsa, Stanley Bernard.

Ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur City FC itu berkata, Stadium Wembley tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan keadaan padangnya, walaupun digunakan untuk tujuan lain seperti konsert dan perlawanan ragbi.

Katanya, padang Stadium Nasional perlu sentiasa dalam keadaan terbaik, tidak kira apa keutamaan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), sama ada untuk bola sepak atau acara lain seperti konsert.

“Reputasi negara berdepan risiko,” katanya kepada FMT susulan kritikan terhadap keadaan padang ketika kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Oman pada Selasa lalu.

Stanley Bernard.

Bernard berkata, mempunyai keadaan padang terbaik akan memberi kelebihan tambahan kepada pasukan negara beraksi di laman sendiri, khasnya dengan kehadiran penyokong Harimau Malaya.

Padang stadium itu mengalami kerosakan selepas konsert kumpulan pop British, Coldplay yang dihadiri 75,000 peminat pada 22 Nov lalu.

Padang itu ditanam rumput Zeon Zoysia. Keadaan padang itu kembali menjadi perbualan hangat selepas video dan imej padang muncul susulan konsert Ed Sheeran pada 24 Feb lalu.

Isnin lalu, Malaysia dan Oman tidak dibenarkan berlatih di padang itu kerana hujan lebat sebelum itu, yang kemudiannya dikritik jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Selepas Malaysia tewas 0-2 kepada Oman, PSM dilaporkan berkata, ia akan mengadakan mesyuarat pascanilai dengan juruperunding dan kontraktor stadium bagi membincangkan padang itu.

Bekas pemain antarabangsa, James Wong meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia menyediakan venue alternatif, jika Stadium Nasional tidak berada di tahap terbaik untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa.

James Wong.

Wong, yang menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980, berkata Malaysia mempunyai stadium bola sepak dengan keadaan padang sangat baik, seperti Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim dan Stadium Likas di Sabah.

“Jika mahu menganjurkan perlawanan antarabangsa, kita perlu mempunyai kemudahan terbaik. Itu sebahagian tanggungjawab kita sebagai tuan rumah,” katanya sambil menambah semua aktiviti bukan bola sepak di Stadium Nasional perlu digantung sementara untuk padang pulih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.