Kertas siasatan 3 pemimpin PAS diserah kepada pendakwa

Kertas siasatan 3 pemimpin PAS diserah kepada pendakwa

Kertas siasatan tersebut antaranya membabitkan dakwaan Presiden PAS Hadi Awang bahawa golongan bukan Islam ialah punca rasuah di negara ini.

Kertas siasatan membabitkan 3 tokoh PAS – Hadi Awang, Siti Mastura Muhammad dan Fawwaz Jan – telah diserahkan kepada pendakwa untuk tindakan lanjut, kata menteri dalam negeri.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan terhadap tiga Ahli Parlimen PAS, termasuk Hadi Awang, telah dirujuk kepada pendakwa.

Siasatan tersebut membabitkan dakwaan Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera ialah punca rasuah, dan kenyataan didakwa menghasut yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Jan terhadap golongan bukan Islam.

Satu lagi kertas siasatan melibatkan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad yang mendakwa Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng serta bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan terhadap Hadi, Ahli Parlimen Marang, telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Manakala kertas siasatan berkaitan laporan polis terhadap (Ahli Parlimen) Permatang Pauh telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang dan masih dalam kajian pihak mereka.

“Berkait kes Siti Mastura, kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara,” katanya,” dalam jawapan bertulis Parlimen.

Pada 20 Ogos 2022, dalam catatan di Facebook, Hadi yang juga presiden PAS mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai majoriti yang terlibat dalam rasuah, mencetuskan laporan polis dibuat terhadapnya.

Sementara itu, dalam sebuah ceramah pada 4 Nov tahun lepas, Mastura mendakwa Kit Siang ialah sepupu Chin Peng dan Lee, manakala Kok ialah sepupu kepada Betty Chew, isteri Guan Eng.

Tiga tokoh DAP itu kemudian memfailkan saman, dan dalam pernyataan pembelaannya, Mastura berkata, dakwaan tersebut dibuat berdasarkan sumber politik yang dipercayainya sah.

Fawwaz pula disiasat berhubung catatan Facebook pada Januari yang mendakwa orang kafir sedang berusaha untuk “menjatuhkan Islam”.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas catatan itu, mendakwa ia dihantar oleh pengendali akaun Facebook miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.