Kerajaan mesti pastikan semua artis nikmati royalti, kata menteri

Kerajaan mesti pastikan semua artis nikmati royalti, kata menteri

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan semua artis dapat menikmati hasil kerja kreatif mereka, kata Armizan Mohd Ali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berucap di hadapan hadirin majlis Ramadan bersama artis veteran malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali memberikan jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan artis mendapat ganjaran yang sewajarnya atas hasil kerja kreatif mereka.

“Karya, bakat sebenarnya adalah ‘harta’, sumber rezeki (karyawan),” katanya.

“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan rezeki itu terus dinikmati oleh para karyawan kita, bukan hanya setakat sepanjang karier aktif mereka, tetapi selama mana karya tersebut dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya ketika menghadiri majlis Ramadan bersama artis veteran semalam.

Sekumpulan artis, yang menghadapi cabaran kewangan, menerima RM1,000 setiap seorang sempena Aidilfitri bulan depan.

Turut hadir, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez dan Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar.

Armizan berkata, harta intelek artis dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987 yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan melalui royalti.

Katanya, kementeriannya melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menubuhkan sembilan organisasi pengurusan kolektif (CMO) untuk mentadbir kutipan dan pengagihan royalti kepada pemilik hak cipta.

Tujuh daripada organisasi tersebut masih wujud dan akan dibaharui, tambahnya.

“Kita menerima maklum balas bahawa ada CMO yang mempunyai isu dari segi tadbir urus, di mana kutipan (royalti dibuat), tetapi manfaat tidak diterima oleh mereka yang berhak.

“Disebabkan itu, CMO dikehendaki membuat pembaharuan setiap dua tahun, dan dengan pembaharuan tersebut, kita boleh menyemak dokumen dan isu-isu berkait setiap CMO,” katanya.

Menteri itu juga mengambil maklum gesaan agar satu badan tunggal ditubuhkan untuk mengutip dan mengagihkan royalti.

“Setakat ini, KPDN menerusi MyIPO tidak mempunyai punca kuasa (untuk berbuat demikian). Kita juga tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar tarif (royalti) yang dikutip CMO,” katanya.

“Namun begitu, saya fikir kita (kementerian) tidak boleh berdiam diri. Walaupun setelah CMO ditubuhkan pada 2012, hakikatnya sehingga kini para karyawan kita masih berdepan dengan isu ini, maka kita perlu mlakukan sesuatu.”

Armizan berkata demikian selepas Fernandez menegaskan permintaan agar kerajaan menyelesaikan isu royalti yang sudah lama menghantui pencipta dalam industri muzik tempatan.

Presiden Karyawan itu berkata, artis tidak menerima bayaran royalti atas hasil kerja mereka.

Fernandez mencadangkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan, diketuai oleh Armizan dan dianggotai komposer dan artis, agar isu ini dapat diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.