BNM tak adil pecat pengurus, kata hakim

BNM tak adil pecat pengurus, kata hakim

Hakim Ahmad Bache membenar permohonan pengisytiharan Y Kohila bahawa pemecatannya melanggar kontrak pekerja.

Mahkamah Tinggi mendapati berkata Y Kohila dilucut hak untuk didengar semasa inkuiri domestik dan disusuli proses rayuan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mendapati Bank Negara Malaysia (BNM) bertanggungjawab ke atas pemecatan seorang pengurusnya tujuh tahun lalu atas dakwaan salah laku kerana pembabitannya dalam aktiviti politik.

Hakim Ahmad Bache berkata, Y Kohila, 48, telah dilucut hak untuk didengar yang mana menjadi pelanggaran keadilan sejadi, semasa inkuiri domestik dan disusuli proses rayuan.

“Disebabkan tindakan tidak adil dan tidak munasabah, beliau kerugian,” katanya dalam penghakiman ketika membenarkan samanya.

Hakim juga membenarkan permohonan pengisytiharan Kohila bahawa pemecatannya melanggar kontrak pekerja.

Ahmad berkata, ganti rugi dan kos akan ditentukan kemudian.

Ahmad berkata, semasa inkuiri domestik, Kohila ada memohon membawa saksi dan mahu diwakili peguam pilihannya, namun ia ditolak termasuk melibatkan dokumen berkaitan.

“Penolakan itu meletakkan beliau pada kedudukan kurang baik dan beliau tidak mampu mengemukakan pembelaan,” katanya sambil menambah wanita itu juga hanya diberikan masa terhad untuk soal balas saksi bank.

Hakim berkata, hujah bank pusat itu bahawa beliau layak di sisi undang-undang untuk mempertahankan diri bukanlah alasan mencukupi.

Katanya, Kohila yang kini dalam amalan guaman, juga tidak dibenar memberi keterangan, justeru beliau tidak diberikan peluang memberi versinya berkait kejadian.

Inkuiri pada Mei 2017 mendapati beliau bersalah dan jawatankuasa disiplin bank memutuskan untuk memecatnya, yang mana Ahmad menyifatkan ia hukuman drastik.

Katanya, Kohila tidak dijemput hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk proses mitigasi ketika pasukan inkuiri dan pegawai bank dari jabatan sumber manusia hadir.

“Berlaku lagi pelanggaran keadilan sejadi di mana beliau tidak dapat berhujah untuk mitigasi di hadapan jawatankuasa,” katanya.

Katanya, keputusan menghukumnya adalah berat sebelah memandangkan jawatankuasa hanya mendengar faktor memburukkan.

“Hakikatnya, beliau dinaikkan pangkat dengan bersama bank selama 12 tahun dan pekerja berorientasikan keputusan tidak diketengahkan pihak jawatankuasa.

“Dakwaan salah lakunya tidak berkaitan dengan pekerjaannya dan perkara itu juga tidak dibawa untuk perhatian,” katanya.

Jawatankuasa itu, pada Jun 2017 memutuskan menamatkan pekerjaannya di atas tiga salah laku menurut Kod Etika 2012.

Beliau dikatakan mendapatkan sokongan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pegawainya pada PRU13 dengan merangka dan menerbitkan dua kenyataan media di laman web “Jerit”, pada 12 April 2013.

Kohila, menyertai bank pusat berkenaan pada 2005, juga dikatakan mendapatkan sokongan S Arutchelvan, ketika itu setiausaha agung PSM, untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih, pada 17 April 2013.

Beliau dituduh berkelakuan tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai pekerja BNM dengan menyertai dalam perarakan awam pada 1 Mei 2016, dan memakai t-shirt antiGST.

Ketika perbicaraan, didedahkan pada 29 Mei 2012, Kohila telah dikeluarkan amaran keras dan gajinya dikurangkan RM500, sebagai tambahan tidak menerima bonus pada 2011, atas “tindakan salah laku” sama.

Peguam Ambiga Sreenevasan, Gokul Radhakrishnan, Sarah Ho, dan KS Bawani mewakili Kohila, manakala Steven Thiru dan Janice Teo mewakili BNM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.