
Namun bagi Qistina, bangun pagi untuk ke sekolah lima hari setiap minggu bagaikan rahmat, yang dia sama sekali tidak ambil ringan.
Anak kepada seorang bapa warga tempatan dan ibu rakyat Indonesia, Qistina tidak didaftarkan sebagai seorang warganegara kerana semasa lahir ibu bapanya tidak dapat kemukakan sijil pernikahan.
Oleh kerana Qistina tiada kerakyatan maka dia tidak layak menyertai sistem persekolahan kebangsaan.
Ibu bapanya memasukkan Qistina ke sekolah agama persendirian tetapi ini tidak memadai baginya, yang mengimpikan pendidikan sewajarnya.
Pada 2018, impiannya tercapai apabila sebuah perpustakaan bergerak, Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), pelawa Qistina menyertai sekolah komunitinya.

“Mereka ajak saya membaca bersama dan mereka buat setiap minggu, jadi saya kerap sertai mereka dan kami jadi rapat.
“Kemudian mereka pelawa murid-murid yang paling aktif semasa kelas tuisyen untuk sertai sekolah.
“Saya dan enam kawan merupakan kumpulan pertama murid sekolah itu,” katanya.
Sejak itu, Qistina rasa kurang terpinggir kerana BJCK merupakan sebuah sekolah inklusif untuk kanak-kanak yang tidak dapat menikmati peluang pendidikan sama rata.
Matlamat dan cabaran
Siti Rahayu Baharin, pengasas bersama BJCK, berkata pihaknya terpanggil untuk mewujudkan sebuah sekolah komuniti apabila menemukan ramai kanak-kanak tidak bersekolah, ketika menjalankan perpustakaan bergerak di Chow Kit, Kuala Lumpur.
“Seorang murid kami cuba tapi tidak dapat mendaftar ke sekolah apabila cukup umur kerana masalah dokumentasi.
“Kami mahu sediakan pendidikan untuk semua kanak-kanak kerana hak asasi,” kata Cikgu Rahayu kepada FMT, ketika ditemui di sekolahnya.
Daripada sebuah lori, BJCK kini mempunyai bangunan sendiri dengan 11 kakitangan dan sedang berkembang.
Baru-baru mereka buka sebuah kafeteria yang menggajikan ibu murid-murid BJCK, dengan harapan ia boleh bantu menambah pendapatan keluarga para pelajarnya.
Dengan cara ini, murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah tidak perlu bekerja untuk bantu sara keluarga, di samping kafeteria ini menyediakan peluang pekerjaan untuk lepasan BJCK.
“Apa nasib mereka kelak? Tahun ini tiga pelajar kami akan menduduki SPM dan mereka hanya ada sijil kelahiran yang menyatakan mereka bukan warganegara,” kata Cikgu Rahayu.
“Ada universiti atau institusi pendidikan tertiari yang mahu terima mereka?
“Dengan perniagaan ini, kami sediakan platform untuk bekerja agar mereka tidak tertipu.”
Menurutnya, bapa seorang muridnya ditipu majikan semasa buat kerja pembinaan dengan upah yang tidak setimpal.
Namun dia tidak dapat melaporkan masalah itu kepada pihak berkuasa kerana tidak berdokumen, maka dia terpaksa merana dalam diam.
“BJCK mahu hentikan kitaran ganas itu,” kata Cikgu Rahayu, yang mahu murid-muridnya memiliki kemahiran untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan, serta hidup secara bermaruah.
Namun cabaran terbesar BJCK ialah meyakinkan orang ramai tentang perjuangannya, memandangkan ramai orang membenci migran tidak berdokumen atau skeptik akan penderitaan mereka.