Lebih 70,000 peserta Felcra terima dividen RM74 juta

Lebih 70,000 peserta Felcra terima dividen RM74 juta

Pengerusi Felcra Ahmad Jazlan Yaakub berkata bayaran itu diharap dapat membantu meringankan beban peserta membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Lebih 70,000 peserta Felcra sudah menerima dividen diagihkan sejak beberapa hari lalu.
KOTA BHARU:
Felcra Berhad sudah mengagihkan bayaran dividen kepada lebih 70,000 peserta di seluruh negara bernilai RM74 juta bagi musim ketiga tahun lalu.

Pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub berkata dengan bayaran sudah dilunaskan sejak beberapa hari lalu itu diharap dapat membantu meringankan beban peserta untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Jumlah dividen ini bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia. Pada bulan ini harga minyak sawit mentah nampak agak stabil melebihi RM4,000 bagi satu tan.

“Kita harap trend kenaikan ini berterusan bagi membolehkan dividen yang lebih banyak dapat diagihkan kepada peserta,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama ketua bahagian Umno Kelantan.

Mengulas lanjut, Jazlan berkata bagi bayaran pertama dividen 2024 pula akan mula dibayar pada Mei depan.

Dalam perkembangan lain, Jazlan yang juga ketua Umno Kelantan menyeru kerajaan negeri mengambil langkah segera dan tuntas dalam menyelesaikan masalah bekalan air menjelang Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu lagi.

“Kepulangan perantau akan menyebabkan penggunaan air semakin meningkat, kita tidak mahu masalah air akan menjejaskan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.