KPDN sita diesel hampir RM75,000 di Kuala Krai

KPDN sita diesel hampir RM75,000 di Kuala Krai

Rampasan itu dilakukan melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

KPDN Kelantan berkata suspek membuat pengisian minyak diesel berulang kali menggunakan lori penggerak utama di stesen minyak sekitar Kuala Krai, kemudian dijual dengan harga tinggi. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita kira-kira 34,871 liter minyak diesel bernilai lebih RM74,900 di sebuah premis perniagaan di Kuala Krai, semalam.

Pengarahnya Azman Ismail berkata rampasan itu dilakukan melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Beliau berkata, maklumat pasukan risikan mendapati premis perniagaan itu dijadikan stor simpanan barang kawalan disyaki untuk dijual kepada industri, perladangan dan pertanian.

“Kita mendapati suspek membuat pengisian minyak diesel berulang kali menggunakan lori penggerak utama di stesen-stesen minyak sekitar Kuala Krai, kemudian dikumpulkan sebelum dijual dengan harga tinggi.

“Seorang lelaki berusia 60 tahun merupakan pemilik premis itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua barang kawalan yang diisi dalam tong jerikin dijumpai bersama dua semi treler tangki di premis perniagaan berkenaan dengan nilai kenderaan disita berjumlah lebih RM154,972.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.