
Jika meninjau Jadi Batek di Jalan Inai, di sini, pasti anda mengubah fikiran. Pusat sehenti beli-belah dan pembelajaran ini akan membuatkan anda menghayati lebih mendalam keindahan abadi fabrik klasik Malaysia.
Bagi yang mahu membeli persiapan Hari Raya saat akhir, jangan terkejut jika pelbagai produk ditawarkan, daripada aksesori hinggalah pakaian, boleh menyebabkan anda rambang mata. Bukan sekadar baju kurung tradisional, malah kemeja samfu dan cheongsam batik turut ditawarkan!
Anda juga boleh menyertai lawatan berpandu percuma untuk mempelajari sejarah batik Malaysia yang terkenal dengan corak berani dan warna menyerlah, serta berpeluang melihat sendiri proses membuat batik.
Ingin mencungkil bakat terpendam anda? Mereka menyediakan kelas yang dikenakan bayaran dan anda boleh membawa pulang hasil karya anda sebagai kenangan.
Ketika lawatan FMT Lifestyle, pengunjung tidak kira pelancong mahupun orang tempatan dilihat seronok mengikuti kelas itu. Malah, bintang pop antarabangsa, Ed Sheeran turut mengikuti kelas itu ketika melawat Malaysia Februari lalu!

Uniknya, Jadi Batek dikendalikan pemilik berbangsa Cina generasi kedua, Colin Yong.
“Ayah saya bermula sebagai jurujual Jadi Batek pada 1970-an,” kata ahli perniagaan berusia 51 tahun itu kepada FMT Lifestyle. “Bosnya ketika itu Tan Sri Tan Hian Tsin. Apabila beliau mahu menjual perniagaan itu pada 1976, ayah saya, Yong Jo, memutuskan untuk mengambil alih.”
Ketika itu, ibu Colin, Thong Lai Ying, menjahit baju dan tali leher batik, manakala ayahnya mengendalikan perniagaan serta mengagihkan produk mereka secara borong kepada perniagaan lain.
Colin, anak sulung daripada tiga beradik, menyimpan kenangan zaman mudanya membantu di kedai terbabit yang terletak di Jalan Sultan Ismail ketika itu.
Beliau mengakui pada awalnya tidak begitu meminati batik yang begitu sebati dengan kehidupannya. Bagaimanapun, semua itu berubah selepas beliau melanjutkan pelajaran di luar negara dan kembali bercuti di Malaysia bersama beberapa rakan dari Jepun.
“Apabila mereka melihat batik, mereka begitu kagum dan mahu memahami proses pembuatan batik dengan lebih mendalam,” katanya.

Ketika itulah Colin menyedari dirinya agak jahil mengenai proses berkenaan. Ini mencetuskan kesedaran untuk beliau lebih menghargai seni itu dan potensi perniagaan itu berkembang.
Apabila bapanya merancang persaraan, beliau bertanya sama ada Colin berminat mengambil alih. “Ketika itu, saya melihat peluang untuk mempromosikan batik. Pada masa itu tidak ramai pesaing, jadi saya menyahut cabaran itu.”
Pada 1999, Colin menyertai perniagaan itu sebelum memindahkan premisnya ke lokasi kini, dengan menetapkan wawasan untuk mengembangkan kedai berkenaan menjadi pusat kraf tangan.
Dengan ruang lebih besar di premis baharu, beliau memperkenalkan lawatan berpandu serta kelas batik, selain membawa pelukis batik dari seluruh Malaysia ke situ untuk menghasilkan karya mereka.
Mahakarya Malaysia
Colin memberitahu pasukan FMT Lifestyle, terdapat dua proses berbeza membuat batik, iaitu batik lukis dan batik terap.
Bagi batik lukis, alat dikenali sebagai “canting” digunakan untuk melukis corak pada kain menggunakan lilin cair. Batik terap pula menggunakan blok diperbuat daripada kayu atau tembaga, dengan corak pada bahagian bawahnya yang dicelup dalam lilin dicairkan sebelum ditekap atas kain.

Antara pelukis berbakat dalam pasukan Jadi Batek adalah Wan Jafnan Wan Ariffin, yang bertugas di situ sejak 15 tahun lalu. Pengalamannya melukis batik menjangkau hampir dua dekad, yang dipelajarinya dari kampung halaman di Kelantan.
Beliau turut mengajar seni itu kepada dua anak perempuannya, yang juga bekerja di Jadi Batek.
“Batik adalah seni yang menarik pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira penduduk tempatan mahupun pelancong. Ia bersifat global, ke mana saja anda pergi, ia boleh ditafsirkan menjadi pakaian, cenderahati atau produk lain,” kata bapa 49 tahun itu.
“Kerana itulah saya menganggap batik sesuatu yang amat unik dan perlu dipelihara di Malaysia.”
Colin berkongsi pandangan sama.
“Apa yang saya cintakan mengenai batik adalah keupayaannya menjadi cara untuk kita berkomunikasi. Ia cara untuk memberitahu dunia siapa kita sebenarnya, iaitu ‘Saya anak Malaysia’.”
Ketahui lanjut mengenai Jadi Batek menerusi laman webnya, Facebook dan Instagram.
Jadi Batek
30, Jalan Inai,
55100 Kuala Lumpur
Waktu perniagaan: 9am-5.30pm setiap hari