Tak semua perlu letak di media sosial, Cuepacs beritahu MB Johor

Tak semua perlu letak di media sosial, Cuepacs beritahu MB Johor

Abdul Rahman Mohd Nordin berkata selain tidak memberi gambaran sebenar, penjawat awam juga berdepan kecaman netizen.

Onn Hafiz Ghazi meninjau kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada 24 Mac lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat berhemah dan jangan terlalu diuar-uarkan di media sosial sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Merujuk teguran Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin berkata kakitangan di Tambak Johor telah bertungkus lumus menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Singapura dan perjalanan sebaliknya.

“Masa MB melawat adalah di luar waktu puncak manakala ada sebilangan kecil kaunter tutup kerana waktu pertukaran giliran pegawai rehat serta tugas pentadbiran lain.

“Pegawai sudah bertungkus-lumus di pintu masuk (Tambak Johor) yang antara tersibuk di dunia. Kritikan akan menyebabkan moral pegawai jatuh,” katanya kepada FMT mengulas mengenai pertikaian isu kesesakan di Tambak Johor antara Onn Hafiz dengan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM).

Jelasnya, tidak semua isu perlu diuar-uarkan di media sosial kerana akan mengundang kepada kecaman netizen dan boleh diselesaikan secara dalaman memandangkan kedudukan Onn Hafiz sebagai pengerusi petugas khas kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

Ahad lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran di Facebook kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor, tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan.

Beliau dipetik berkata perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu dilihat masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.

Presiden KPISM Ajeet Singh Gurbax Singh dalam reaksinya berkata kesesakan berlaku disebabkan pertukaran syif kakitangan dan sedang dalam giliran untuk rehat, selepas waktu puncak.

Menghargai lawatan Onn Hafiz itu bagi meningkatkan perkhidmatan di pintu masuk negara, Ajeet turut meminta pemimpin terbabit memfokuskan kepada isu lain di Johor seperti kesesakan lalu lintas dan masalah berkait golongan B40.

Susulan itu, Onn Hafiz menerusi satu hantaran di Facebook turut mempersoalkan tindakan kesatuan itu yang seolah-olah meminta beliau untuk mengabaikan “isu besar” berkenaan.

Isu kesesakan di Tambak Johor itu turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendengar permasalahan itu dalam pertemuan dengan Onn Hafiz dan pihak berkaitan pada Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.