
Justeru, agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu dalam kenyataan berkata, arahan kerajaan Terengganu untuk membekukan permit pemindahan padi tidak tepat dan mengelirukan.
“Kuasa untuk membekukan permit pemindahan padi antara negeri adalah bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 melalui fungsi ketua pengarah Kawalselia Padi dan Beras,” menurut kenyataan itu.
Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan kerajaan Terengganu mengarahkan semua permit pemindahan padi keluar dari negeri itu dibekukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr Azman Ibrahim, berkata arahan itu antara mekanisme kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri dijual ke negeri lain.
Mengulas laporan itu, KPB menjelaskan arahan pembekuan pemindahan padi masih berkuat kuasa hingga kini sejak ia dilaksanakan pada 20 Jun tahun lalu.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat lebihan hasil padi di dalam negeri dan terdapat keperluan untuk menjual padi merentasi negeri, permohonan boleh dikemukakan di pejabat KPB negeri untuk pertimbangan dan kelulusan ketua pengarah KPB,” katanya.