Sri Aman diisytihar kawasan jangkitan rabies

Sri Aman diisytihar kawasan jangkitan rabies

Ia susulan kes positif rabies haiwan baharu dikesan di bahagian itu, baru-baru ini.

Sebanyak 78 kes rabies pada manusia dengan 71 kematian dicatatkan sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017.
KUCHING:
Sri Aman menjadi bahagian terbaharu di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies selepas Kuching, Samarahan, Serian dan Bintulu, kata Timbalan Premier Douglas Uggah Embas.

Katanya, sehingga hari ini jumlah kematian keseluruhan adalah 71 daripada 78 kes rabies pada manusia sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) itu berkata pengisytiharan itu telah dimaklumkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Stephen Rundi Utom kelmarin susulan kes positif rabies haiwan baharu dikesan di bahagian itu, baru-baru ini.

“Sebanyak 29 kawasan masih kekal sebagai kawasan jangkitan rabies walaupun tiada haiwan positif rabies dikesan di kawasan tersebut pada tahun ini.

“Pengisytiharan ini adalah perlu bagi memastikan lebih banyak usaha membasmi rabies di bahagian terjejas oleh agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Pelan Tindakan Kawalan dan Pembasmian Rabies 2024-2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.