
Panel tiga hakim, yang dipengerusikan oleh Hakim Supang Lian dan dianggotai Hakim Wong Kian Kheong dan Azman Abdullah, berkata keputusan hakim Mahkamah Tinggi selamat.
Jamal memohon dibicarakan semula kerana beliau tidak diwakili peguam. Beliau memecat peguamnya sehari sebelum perbicaraan.
Hakim Mahkamah Tinggi Arief Emran Arifin sebelum ini memerintahkan Jamal membayar RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan, beserta kos RM50,000, selepas beliau gagal membuktikan pembelaannya.
Hari ini, panel itu juga menolak rayuan Jamal untuk mengurangkan jumlah yang perlu dibayarnya, sebaliknya menambah RM20,000 lagi untuk kos semasa rayuan.
Kok memfailkan saman fitnah pada 2017 selepas Jamal menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif kerajaan Selangor, Skim Mesra Usia Emas.
Arief berkata, kenyataan Jamal pada sidang media yang diadakan pada 8 Mac 2017 “berniat menyerang plaintif (Kok) secara peribadi dan atas kapasiti profesionalnya sebagai Ahli Parlimen”.
Dalam tuntutannya, Kok berhujah, kenyataan Jamal memberikan gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana negeri dan merupakan seorang yang tidak beretika.
Jaden Phoon dan Rebecca Marshall mewakili Kok selaku peguam, manakala Jamal diwakili Reginder Singh.