
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau bersetuju dengan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin yang menyarankan semua pihak supaya “stand down” (kembali bertenang) memandangkan tindakan undang-undang berhubung isu itu sedang berjalan.
“Memandangkan isu 3R kes semakin panas, pertama sekali, apa juga laporan berkaitan isu perkauman kita akan buka dan siasat. Tidak kisah ia dibuat pihak kerajaan atau pihak lain.
“Kita sangat konsisten dalam membuka kertas siasatan ke atas Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang. Kita siasat semua. Saya ingin nasihati semua pihak supaya ‘stand down’, dan setuju dengan apa yang saudara Khairy kupas dalam podcast. Kami bimbang ia menjadi pemangkin kepada isu perkauman seperti insiden Kampung Medan.
“Ia hanya memburukkan imej negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Shuhaily berkata, pihaknya sedang mendapatkan lagi maklumat risikan dan sama ada masih terdapat gerakan memburukkan lagi keadaan melibatkan isu 3R.
“Biarkan sistem keadilan kita berfungsi, biar ia melalui proses perundangan. Itu menunjukkan kematangan rakyat kita, kematangan kita menangani masalah sensitif dalam negara ini.
“Kalau dulu kita ada ‘preventive law’ dan ia dimansuhkan kerana dikatakan kematangan masyarakat dalam membincangkan isu sensitif seperti ini, hari ini kita diuji kematangan kita menangani masalah sedemikian.”
Sehingga kini, katanya, 10 laporan polis diterima membabitkan isu stoking kalimah Allah.
Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak mengambil tindakan sendiri yang melangkaui pihak berkuasa.
“Sabarlah kami akan selesaikan semua, jangan simbah minyak dalam api.”
Semalam, Pengasas KK Mart, KK Chai Kee Kan dan isterinya, Loh Siew Mui, yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
Turut didakwa tiga pengarah syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana bersubahat dengan membekalkan stoking terbabit.
Sementara itu, Shuhaily berkata pihaknya juga sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung ugutan untuk membakar kilang milik Xin Jian Chang di Batu Pahat.
“Ada kita buka kertas siasatan (ancaman bakar kilang) semua yang melibatkan isu 3R ini khususnya kepada kes KK Mart inilah, kita buka (kertas siasatan).
“Tapi kertas siasatan masih belum lengkap,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Pada 19 Mac lalu., syarikat itu mendedahkan ada pihak mengugut untuk membakar kilang mereka susulan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah.