33,000kg makanan, minuman RM416,000 diselamat di bazar Ramadan

33,000kg makanan, minuman RM416,000 diselamat di bazar Ramadan

KPDN kerjasama dengan sukarelawan menasihatkan peniaga bazar Ramadan tidak membazir dan mengumpulkan makanan tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan susah.

Sebanyak 25,000kg makanan dikumpulkan semasa projek rintis MySaveFood pada Ramadan tahun lalu dan kali ini ia dijangka meningkat.
KUANTAN:
Sebanyak 33,000kg makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM416,000 berjaya diselamatkan di bazar Ramadan seluruh negara menerusi program MySaveFood Ramadan dilancarkan sejak 14 Mac lalu hingga hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kempen itu digerakkan kementerian dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita telah bekerjasama dengan GPS iaitu sukarelawan IPT bawah KPDN yang ditugaskan untuk menasihatkan peniaga bazar Ramadan di seluruh negara agar tidak membazir dan mengumpulkan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan susah.

“Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, kita juga membuat kompos daripada sisa makanan dengan mesin kompos disediakan SWCorp yang boleh menghasilkan baja dalam tempoh 48 jam menggunakan bahan enzim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan mesra dan pelancaran Program MySaveFood 2024 peringkat negeri Pahang di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square.

Fuziah berkata, sebanyak 25,000kg makanan berjaya dikumpulkan semasa projek rintis MySaveFood pada Ramadan tahun lalu dan kali ini ia dijangka meningkat dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan dalam pengumpulan lebihan makanan di bazar Ramadan.

Mengulas mengenai Ops Pantau dilaksanakan sejak 12 Mac lalu hingga semalam di Pahang, Fuziah berkata sebanyak 3,239 premis diperiksa dengan 13 kes kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan lapan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan.

“Kita tidak menjumpai harga makanan yang melampau seperti burger berharga RM30 atau RM40 seperti ditularkan. Mungkin mereka sempat mengubahnya sebelum pegawai penguat kuasa KPDN turun melakukan pemeriksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.