Usaha pertingkat penguasaan BM mesti tangani isu kos, prestasi, kata pakar

Usaha pertingkat penguasaan BM mesti tangani isu kos, prestasi, kata pakar

Pihak berkepentingan setuju penguasaan BM perlu dipertingkat tetapi mencadangkan rancangan itu diubah suai untuk mengoptimumkan hasilnya.

Selari dengan gesaan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan BM dalam kalangan murid, sekolah digalakkan melanggan surat khabar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, dan Sinar Harian.
PETALING JAYA:
Kebanyakan pakar menyokong rancangan kerajaan menggunakan surat khabar Bahasa Melayu di sekolah untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu, tetapi memetik isu kos dan prestasi yang mesti ditangani.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim memuji rancangan itu, tetapi mencadangkan pendekatan yang lebih bernuansa.

“Kebanyakan orang membaca surat khabar dalam talian. Mungkin lebih murah untuk sekolah melanggan (surat khabar dalam talian) berbanding membeli surat khabar (bercetak),” kata Noor Azimah sambil menambah, surat khabar bercetak lazimnya dibaca oleh golongan lebih berusia.

“Cabarannya adalah untuk memastikan surat khabar dibaca oleh murid dan tidak hanya terbiar. Melainkan guru diberi tanggungjawab (memastikan murid membaca surat khabar), usaha ini tidak akan berhasil,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) harus membenarkan sekolah membuat pilihan sendiri surat khabar mana yang hendak dilanggan, bukannya mewajibkan langganan semua surat khabar utama.

Beliau juga berkata, KPM perlu mengkaji semula keberkesanan program membaca sedia ada, seperti Program Nilam, yang diperkenalkan pada 1999 untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Puay Chai 2 Loh Tian Hong berkata, kerajaan perlu menetapkan matlamat yang jelas untuk menentukan kecekapan dan keberkesanan program yang dicadangkan.

“Uji sama ada inisiatif itu berkesan; jika tidak, ia akan menyebabkan pembaziran kerana perolehan surat khabar boleh menelan belanja RM2 juta setahun.

“Sebelum meneruskan (inisiatif itu), langkah jelas yang boleh mengukur kejayaan atau kegagalannya mesti ditetapkan,” katanya.

“Kita boleh tentukan peratusan kadar kelulusan pelajar sebelum dan selepas pentaksiran. Sebagai contoh, objektifnya boleh jadi meningkatkan kadar kelulusan BM daripada 50% kepada 80-85%,” kata Loh.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) Azizee Hasan berkata, inisiatif itu secara tidak langsung akan membantu pelajar mengasah kemahiran menulis, yang akan memberikan manfaat kepada mereka dalam peperiksaan seperti SPM dan STPM.

“Keberkesanannya boleh diukur melalui kualiti penulisan karangan, dengan lebih banyak gred A dicapai dan lebih sedikit gred D, E atau G,” katanya.

“Inisiatif ini memerlukan sokongan daripada pihak berkepentingan yang berlainan dan harus menggabungkan teknik pengajaran yang inovatif dengan teknologi digital.”

Selari dengan gesaan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan BM dalam kalangan murid, sekolah digalakkan melanggan surat khabar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, dan Sinar Harian.

Motivasi itu penting

Loh mencadangkan langkah yang lebih berkesan dari segi kos, seperti mendapatkan sumbangan dan menggunakan sumber alternatif seperti filem untuk mendedahkan murid kepada BM.

Tambahnya, murid juga mesti mempunyai motivasi untuk membaca surat khabar.

“Anak-anak generasi ini tidak akan secara automatik membaca surat khabar tanpa sebarang motivasi,” katanya.

“Kita perlu memberikan motivasi kepada pelajar untuk mengamalkan dan mencintai BM dengan menarik minat mereka melalui guru dan contoh teladan yang berjaya.”

Azizee juga menekankan kepentingan bimbingan jelas dan sokongan kewangan, terutamanya bagi sekolah luar bandar, bersama keperluan guru pakar untuk membantu penutur bukan Melayu, khususnya di sekolah Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.