Rosmah gagal cabar pelantikan ketua pendakwa Sri Ram dalam kes projek solar

Rosmah gagal cabar pelantikan ketua pendakwa Sri Ram dalam kes projek solar

Hakim berkata, permohonan Rosmah Mansor bagi mendapatkan kebenaran merayu tidak memenuhi syarat ambang Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim menolak permohonannya dan memerintahkan Rosmah Mansor membayar kos RM30,000. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rosmah Mansor gagal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bagi mencabar kesahihan pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dan membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim menolak permohonannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM30,000.

Abang Iskandar berkata, permohonan Rosmah bagi mendapatkan kebenaran merayu tidak memenuhi syarat ambang Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Tiada isu baharu ditunjukkan yang memerlukan pertimbangan lanjut,” katanya sambil menambah tiada isu kepentingan awam untuk dipertimbangkan mahkamah.

Dua lagi hakim ialah Nordin Hassan dan Abdul Karim Abdul Jalil.

Isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun 2022 bagi mencabar kesahihan pelantikan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kesnya dan membatalkan perbicaraan kes rasuahnya.

Beliau menamakan peguam negara, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Rosmah, 72, memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 menyalahi undang-undang.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar dari 15 Nov 2018 hingga pembelaan menutup kesnya tidak sah serta batal, dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah dan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan, namun ditolak. Beliau kemudian memfailkan permohonan pada 5 Julai lalu untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 Sept 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Rosmah kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta.

Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan meninggal dunia awal tahun lalu pada usia 79 tahun.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, Rosmah diwakili peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang dibantu Liew Horng Bin bagi pihak responden berhujah permohonan itu perlu ditolak kerana persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan persoalan baharu, tidak bermanfaat atau penting kepada orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.