
Setiausaha Jawatankuasa Interimnya Satees Muniandy berkata dalam mesyuarat sebelum ini ada pandangan daripada pimpinan di Selangor mencadangkan seorang anak tempatan menjadi calon Bebas memandangkan pendaftaran parti itu belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan.
Menurutnya, ini kerana 18% daripada pengundi di Kuala Kubu Baharu adalah dari etnik India.
Bagaimanapun katanya, pihaknya berpendapat meletakkan calon Bebas hanya akan memecahbelahkan undi dan memberi kelebihan kepada calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Maka diputuskan bahawa Urimai tidak akan meletakkan calon bebas di Kuala Kubu Baharu.
“Jawatankuasa Interim juga menyeru supaya parti pembangkang untuk menyatukan segala tenaga dan sumber, dan memilih seorang calon boleh menang bagi mengalahkan PH-BN,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Pengerusi Interima Urimai P Ramasamy akan mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRK Kuala Kubu Baharu.
“Urimai akan turun untuk berkempen dan memenangkan calon umum pembangkang jika kesepakatan dapat dicapai oleh kesemua parti,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu perlu diadakan bagi mengosongkan kerusi itu susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, dari PH pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon PN Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.