Penyelia, pembantu pusat pemulihan dadah mengaku salah pukul pelatih

Penyelia, pembantu pusat pemulihan dadah mengaku salah pukul pelatih

Dua lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa 38 tahun menggunakan paip PVC di pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai pada 19 Mac lalu.

M Jason Jai Ganesh (dua dari kanan) dan Kelvin Raymond (dua dari kiri) di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelatih minggu lalu. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Penyelia dan pembantu sebuah pusat pemulihan dadah swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelatih lelaki di pusat itu minggu lepas.

M Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa 38 tahun menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC) di pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai kira-kira 11 pagi 19 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan dan kedua-dua tertuduh diwakili Patrick Samuel Sebastian.

Patrick dalam rayuannya memohon kebenaran supaya anak guamnya mendapatkan pemeriksaan psikiatri berikutan kecederaan dilakukan mereka terhadap mangsa kejam dan meminta mahkamah mengeluarkan perintah sekatan bersuara (gag order) bagi menghalang media melaporkan kes itu.

Syafina bagaimanapun berkata, masalah psikiatri kedua-dua tertuduh tidak pernah dibangkitkan semasa siasatan sebelum ini.

Hakim menolak permohonan Patrick dan tiada ikat jamin ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh, selain menetapkan 30 April ini bagi serahan laporan perubatan dan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.