Malaysia mahu UNSC pastikan Israel henti kekejaman di Gaza

Malaysia mahu UNSC pastikan Israel henti kekejaman di Gaza

UNSC meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata segera sepanjang Ramadan, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan hantar segera bantuan kemanusiaan.

Malaysia berpandangan penerimaan resolusi menuntut gencatan senjata serta-merta di Gaza kejayaan besar memandangkan konflik itu bermula lebih lima bulan lalu. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) mengenai Gaza pada Isnin yang menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata, Malaysia turut menyeru UNSC memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Malaysia berpandangan penerimaan resolusi itu kejayaan besar memandangkan konflik di Gaza bermula lebih lima bulan lalu.

“Malaysia sekian lama menyeru Majlis Keselamatan PBB memenuhi tanggungjawab diamanahkan bagi melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel yang sehingga kini meragut nyawa lebih 32,000 orang awam,” kata Wisma Putra.

Menurutnya, sekatan sempadan rejim Israel mengakibatkan risiko kebuluran dan malnutrisi bagi 2.3 juta penduduk di Gaza.

Katanya, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.

UNSC meluluskan resolusi menuntut “gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang Ramadan, dihormati semua pihak sambil menyasarkan gencatan senjata berkekalan.”

Resolusi itu juga menuntut “pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan serta memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain.”

Agensi Anadolu dalam laporannya berkata, 14 negara mengundi menyokong resolusi itu, yang dibentangkan 10 ahli majlis dipilih, manakala Amerika Syarikat berkecuali daripada mengundi.

Israel melancarkan serangan ketenteraan maut di Palestin sejak 7 Okt 2023, dengan lebih 32,333 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,694 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barang keperluan.

Perang Israel, yang kini memasuki hari ke-171, mendorong 85% penduduk Gaza menjadi pelarian di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan teruk, manakala 60% infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut PBB.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari lalu mengarahkan rejim Zionis menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.