Contohi BN sedia slot matrikulasi buat pelajar India, kerajaan diberitahu

Contohi BN sedia slot matrikulasi buat pelajar India, kerajaan diberitahu

Bekas ketua pengarah Sedic, NS Rajendran berkata, Putrajaya boleh memperuntukkan 2,200 slot seperti dilakukan sebelum PRU14.

Bekas ketua pengarah Sedic, NS Rajendran berkata, pelajar India daripada keluarga B40 yang memasuki universiti boleh mendapat pekerjaan baik dan mengubah komuniti mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas penjawat awam kanan menggesa Putrajaya mencontohi pentadbiran Barisan Nasional menyediakan sekurang-kurangnya 2,200 tempat matrikulasi buat masyarakat India.

NS Rajendran, bekas ketua pengarah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) berkata, inisiatif ini boleh membawa perubahan signifikan kepada masyarakat itu dan dilaksanakan tanpa kesukaran.

“Saya meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian slot matrikulasi untuk pelajar India seperti dilakukan seorang bekas perdana menteri dengan menyediakan 2,200 tempat, khasnya buat pelajar B40.

“Kita boleh lakukan ini (pada 2018), jadi ini bukan perkara baharu.

“(Jika) pelajar miskin ini memasuki matrikulasi dan meneruskan pelajaran di universiti tempatan, selepas menamatkan pelajaran, mereka boleh mendapat akses kepada pekerjaan baik yang dapat mengubah komuniti itu,” katanya kepada FMT.

Pada Disember 2018, pentadbiran Pakatan Harapan menjenamakan semula Sedic sebagai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pada April 2018, sejurus sebelum PRU14, Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak mengumumkan peruntukan 700 slot matrikulasi buat pelajar India, tambahan kepada 1,500 tempat sedia ada.

Minggu lalu, Senator C Sivaraj menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukkan komitmennya untuk menaikkan taraf sosioekonomi kaum India dengan menyediakan 2,500 slot matrikulasi kepada masyarakat itu.

Ahli Parlimen DAP, V Ganabatirau turut menggesa Anwar mengumumkan jumlah sebenar slot matrikulasi untuk pelajar India kerana kekurangan ketelusan selepas PH berkuasa pada 2018.

Ganabatirau mendakwa pengganti Najib – Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob – mengurangkan jumlah kerusi untuk pelajar India secara drastik tanpa mendedahkan angka itu.

“Tiada kejelasan berapa banyak (tempat) ditawarkan, berapa ramai (pelajar) diterima, berapa banyak tawaran digugurkan kerana tidak sepadan kursus. Justeru, masyarakat India mengadu (kurang) ketelusan daripada kementerian berkaitan.”

Bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam juga tidak tahu sama ada 2,200 slot yang diperuntukkan pentadbiran Najib dikekalkan selepas PRU14.

“Sejak kerajaan memberi kami 1,500 kerusi, kami melakukan pemantauan ketat terhadap jumlah pelajar yang diberikan tempat untuk memasuki matrikulasi dan saya gembira untuk memaklumkan ramai daripada mereka berjaya di universiti.

“Kami pastikan jumlah itu sentiasa dikekalkan. Tetapi, selepas 2018, kami tidak tahu sama ada 2,200 kerusi itu diberikan kepada pelajar India dan jika ada entiti yang memantau (perkara itu).”

Bekas menteri itu berkata, kerajaan di bawah Abdullah Badawi dan Najib, sebagai timbalannya ketika itu, proaktif dalam menangani masa depan masyarakat India dan isu kerusi matrikulasi terhad untuk pelajar India dibangkitkan dalam jawatankuasa Kabinet bagi hal ehwal India yang dipengerusikan Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.