
Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin, berkata tindakan KKM itu selaras syor dilakukan PAC berhubung pengurusan wabak Covid-19: Vaksin Luput Tamat Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Keselamatan Peribadi, yang dibentang di Parlimen pada 30 Okt 2023.
“Tindakan KKM ini selaras dengan syor ketiga laporan itu, bahawa kementerian berkenaan perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit peralatan ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Kementerian mencadangkan wang yang diperoleh berkenaan diguna dan ditambah oleh Kementerian Kewangan (MOF), bagi memastikan ketersediaan peralatan ventilator di seluruh hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Mas Ermieyati berkata susulan daripada syor dilakukan, kementerian juga telah mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan lebihan stok “boot cover” dan “protective jumpsuit” atau “coverall” dapat digunakan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau berkata PAC mahu KKM memastikan semua peralatan tersebut berada pada kadar optimal, bagi persediaan berlaku sebarang wabak atau pandemik.
Sebelum ini, PAC turut mengadakan prosiding tindakan susulan berhubung laporan itu pada 7 Mac, dengan memanggil saksi iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) MOF Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Norazman Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM Dr Norhayati Rusli.