
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Azlan Abdullah berkata tujuan utama amanah perniagaan Islam itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa sebagai usaha memaksimumkan kadar hasil dividen.
“Tumpuan segera (kami) adalah untuk mengekalkan perbelanjaan operasi pada tahap cekap supaya pada penghujung hari, tunai boleh dioptimumkan untuk memberikan pulangan kepada pelabur,” katanya pada sidang media.
Berdasarkan harga tawaran awam awal (IPO) sebanyak 95 sen seunit, hasil dividen tidak langsung berada pada kadar kira-kira 6.7% bagi tahun kewangan 2024.
Menurut dasar pengagihan amanah itu, pengurus pemegang amanah menyasarkan untuk membayar sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih kepada pemegang unit secara tahunan, dengan menyasarkan agihan RM70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.
Azlan berkata Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) tidak termasuk dalam IPO kerana masih pada peringkat awal operasi.
Menurutnya, lazimnya syarikat konsesi lebuh raya akan mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk mencapai pulang modal pada tahap pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda).
“Prestasi kedua-dua lebuh raya itu baik, tetapi pada masa ini, masih terlalu awal untuk melihat potensi penuh prestasinya,” tambahnya.
Permodalan pasaran Prolintas Infra BT berjumlah kira-kira RM1.05 bilion berdasarkan 1.1 bilion unit yang diterbitkan pada harga IPO.
Saham dibuka pada harga RM0.95 seunit pada hari pertama dagangannya, paras yang sama dengan harga IPO.
Pengendali lebuh raya itu menerima 7,211 permohonan untuk 126,172,600 unit, dengan nilai keseluruhan RM119.9 juta, berbanding 27,500,000 unit yang disediakan untuk dimohon orang awam.
Sebanyak 2,881 permohonan untuk 32,344,900 unit diterima bagi Bumiputera, mewakili kadar terpohon beli berlebihan sebanyak 1.35 kali ganda. Sementara itu, 4,330 permohonan untuk 93,827,700 unit diterima bagi bahagian awam yang lain, mewakili kadar terpohon beli berlebihan sebanyak 5.82 kali ganda.
Tawaran sebanyak 422,949,000 unit yang disediakan buat pelabur terpilih dan institusi, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, telah habis dibeli.
Lapan pelabur asas terjamin bagi IPO – Permodalan Nasional Bhd; Aham Asset Management Bhd; Aiiman Asset Management Sdn Bhd; Lembaga Tabung Haji; Maybank Asset Management Sdn Bhd; Maybank Islamic Asset Management Sdn Bhd; Kenanga Investors Bhd; dan Kenanga Islamic Investors Bhd – secara kolektif telah memperoleh 70.9% daripada tawaran institusi.