Perlu terbuka dalam isu pindaan hak kewarganegaraan, kata Saifuddin

Perlu terbuka dalam isu pindaan hak kewarganegaraan, kata Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata aktivis dan NGO perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari jalan tengah berhubung pindaan itu.

Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan bersedia untuk berkompromi tetapi menggesa pihak berkepentingan lain untuk berbuat demikian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Aktivis dan NGO perlu bersikap terbuka berhubung pindaan hak kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Pada mulanya, kami mahu melakukan lapan pindaan, tetapi kerajaan kemudian mengeluarkan satu pindaan.

“Aktivis dan NGO harus mempunyai semangat yang sama. Jangan semua yang dia tuntut kerajaan kena dengar,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambahnya, semua pihak berkepentingan perlu menerapkan pendekatan terbuka dan cuba mencari jalan tengah dalam isu terbabit.

“Pendapat kamu mungkin betul tapi tidak selamanya benar. Jadi beri juga ruang kepada kerajaan,” katanya.

Saifuddin berkata, perkara paling penting ialah menyelesaikan isu kewarganegaraan bersama.

Pada Jumaat, Saifuddin berkata kementeriannya memutuskan untuk tidak meneruskan dengan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung hak kewarganegaraan bayi terbuang dan tanpa kerakyatan selepas perbincangan dengan Ahli Parlimen dan wakil parti, pakar undang-undang, wakil agensi negeri dan ketua whip semua parti.

“Semua cadangan (pindaan) yang dibentangkan oleh KDN telah dipersetujui, kecuali yang berkaitan dengan Seksyen 19B dan 14(1)(e), yang kekal,” katanya.

“Cadangan kami (pada mulanya) untuk menukar mereka yang terlibat di bawah seksyen ini kepada warganegara melalui pendaftaran.”

Di bawah Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua, bayi terbuang diberikan kewarganegaraan automatik melalui “operasi undang-undang”, seperti yang diperuntukkan di bawah peruntukan pembuktian yang memberikan mereka manfaat keraguan mengenai tarikh dan tempat kelahiran mereka, dengan mengambil kira bahawa status ibu bapa biologi mereka tidak diketahui dan tidak dapat dibuktikan.

Sementara itu, di bawah Seksyen 14(e), Bahagian II Jadual Kedua, perlindungan yang serupa di bawah operasi undang-undang diberikan kepada orang yang rentan dan terjejas, seperti kanak-kanak yang lahir luar nikah, kanak-kanak tanpa negara dan ditinggalkan yang dijadikan anak angkat; dan komuniti pribumi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.