Nasib Sangkar muktamad selepas Aidilfitri, kata pemimpin PKR

Nasib Sangkar muktamad selepas Aidilfitri, kata pemimpin PKR

Semalam PKR memutuskan Sangkar Rasam akan terus memimpin Sabah sehingga proses rundingan antara Anwar Ibrahim dengan ketua bahagian selesai.

Sangkar Rasam menolak gesaan meletak jawatan ketua PKR Sabah dengan berkata kritikan terhadap kepimpinannya menjejaskan gerak kerja parti menjelang PRN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kemelut PKR Sabah akan dimuktamadkan Presiden Anwar Anwar Ibrahim yang akan mendengar pandangan dan luahan ketua bahagian negeri itu selepas Aidilfitri.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Yahya Mat Sahri, berkata nasib Ketua PKR Sabah, Sangkar Rasam juga akan ditentukan selepas pertemuan itu.

Yahya Mat Sahri.

“Semalam diadakan mesyuarat biro politik pimpinan PKR pusat yang dipengerusikan presiden, kemudian diikuti mesyuarat penuh MPP pusat dan isu kepimpinan di Sabah dan (desakan letak jawatan) pengerusi PKR Sabah dibincangkan…laporan telah didengar.

“Selanjutnya nanti kita lihat keputusan akan dibuat presiden, kerana semua (lantikan) pengerusi negeri kuasa penuh presiden bukan proses undi tertinggi daripada ketua cabang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, semalam MPP turut memutuskan Sangkar akan terus memimpin PKR Sabah sehingga proses rundingan antara Anwar dengan semua ketua bahagian selesai.

“Buat seketika apa dinyatakan dalam MPP, Sangkar akan terus memimpin untuk melihat kepimpinan dan proses pengurusan parti di Sabah sebagai persiapan menghadapi PRN,” katanya.

FMT difahamkan Anwar dijangka ke Sabah 20 April ini.

Baru-baru ini, 15 daripada 26 ketua bahagian diketuai Sazalye Donol dari Kota Marudu menggesa Sangkar berundur secara terhormat atas dakwaan dia kurang dikenali, tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi dan gagal mengadakan program memperkasakan PKR Sabah.

Sazalye dilaporkan berkata, mereka menyuarakan pendirian menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Sangkar melalui akuan berkanun.

Sangkar kemudian menolak gesaan meletak jawatan dengan berkata, kritikan terhadap kepimpinannya menjejaskan gerak kerja parti menjelang PRN dan menggesa ahli tidak membuang masa kerana pergolakan dalaman PKR Sabah bukan julung kali berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.