Masalah air Kelantan dijangka selesai 3 tahun lagi

Masalah air Kelantan dijangka selesai 3 tahun lagi

Exco negeri Izani Husin memberi jaminan Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air menjelang 2028.

Masalah air di Kelantan mampu diselesaikan apabila semua loji air yang sedang dibina mahupun dinaik taraf siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun, kata exco negeri Izani Husin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masalah air yang menghantui penduduk Kelantan selama lebih 20 tahun dijangka akan selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Izani Husin berkata, perkara ini mampu dilakukan apabila semua loji air yang sedang dibina mahupun dinaik taraf siap sepenuhnya dalam tempoh tersebut.

“InsyaAllah pada tahun 2028 nanti, Kelantan akan mempunyai lebih bekalan air,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kota Bharu malam tadi, lapor Utusan Malaysia.

Izani yang juga Adun Kijang berkata, kerajaan negeri pada masa ini sedang merancang menukar paip-paip sejauh 5,000km yang sudah uzur secara beransur-ansur.

Sebanyak 1,000km paip perlu ditukar segera, namun dalam tempoh setahun, kerajaan negeri hanya mampu menukar paip pada jarak 150km sahaja, katanya.

“Melalui perancangan terbaru, kerajaan negeri akan berbincang dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam meningkatkan keupayaan bagi kerja-kerja menukar paip-paip air tersebut,” ujarnya.

Kerajaan negeri juga akan mengemukakan kertas kerja kepada perdana menteri dalam usaha mempercepat penukaran paip-paip tersebut, katanya.

“Jika lebih ramai kontraktor dapat dilantik, kerja menukar paip dapat ditingkatkan kepada 250 km setahun.

“Permohonan peruntukan untuk kerja-kerja menukar paip-paip itu akan dibuat mengikut kemampuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.